Bersatu kena selesai masalah dalaman, elak beri kesan pada PN

Bersatu kena selesai masalah dalaman, elak beri kesan pada PN

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu segera menyelesaikan masalah dalaman, yang jika tidak ditangani bakal memberi kesan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pergaduhan sesama sendiri perlu dielak agar gabungan tersebut kekal stabil sebelum memasuki ge­langgang pilihan raya.

Katanya, Pas tidak masuk campur dalam permasalahan dalaman Bersatu itu, namun berharap ia dapat diselesaikan segera.

“Kawan kita (Bersatu) sekarang ada sedikit masalah, bagi Pas, Bersatu perlu menyelesaikan masalah tersebut sebelum PRN Sabah yang semakin hampir dan PRU16 selepas itu.

“Kita berharap (ke­pemim­pinan) Bersatu dapat ber­bincang dengan baik. Lagi cepat mereka dapat selesaikan masalah, lagi baik. Kita tidak mahu persiapan menghadapi pilihan raya terjejas berikutan kemelut berkenaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Bersatu didakwa mengalami pergolakan dalaman apabila dikatakan wujud dua kem membabitkan Presiden, Tan Sri Muh­yiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dakwaan tersebut semakin ketara apabila Ahli Parlimen parti itu bagi Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan me­lakukan serangan terbuka ke atas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali termasuk mengungkit itu video intim yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu.

Bagaimanapun dakwaan Wan Saiful itu mendapat reaksi balas daripada Azmin yang menyifatkannya sebagai fitnah yang tidak munasabah

Di media sosial pula kecoh apabila tersebar satu klip audio pendek mirip suara seorang pemimpin Bersatu yang mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membuat cadangan Hamzah sebagai calon Perdana Menteri di dalam pertemuan tertinggi bersama beberapa pemimpin Bersatu, termasuk Ketua Pembangkang itu.

Bagaimanapun, Pas menafikan rakaman audio tular tersebut namun tidak menafikan terdapat perjumpaan Pas bersama Bersatu, Gerakan dan MIPP bagi membincangkan hal ehwal semasa.

Sebelum itu, Bersatu menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dari parti itu.

Sementara itu, Hashim berkata, Presiden Bersatu dan Azmin sebelum ini ada memaklumkan untuk bertemu bagi berbincang perkara berbangkit dalam muktamar Pas baru-baru ini.

“Bagaimanapun, pertemuan tersebut masih belum lagi berlaku. Saya tidak kisah untuk berjumpa dan ia dalam pengetahuan Pas Pusat. Namun sehingga kini, pertemuan secara terbuka itu masih belum berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×