Sebuah tempayan tua di tepi rumah. Pada musim kemarau airnya surut. Di dalamnya jentik-jentik hidup dengan resah.
“Kalau beginilah keadaannya lebih baik kita lari keluar. Daripada mati kering di dalam lubang busuk ini. Baik kita cari takungan lain,” kata Si Degil sambil menampar ekornya ke permukaan air.
“Ke mana kau mahu lari?” Dinding tempayan ini tinggi. Kita bukan ikan bukan katak. Mustahil kita boleh keluar,”sahut Si Lemah yang tubuhnya kurus.
“Kalau begitu, kita tunggu mati sajalah.” Si Degil mendengus.
Kata-kata itu menusuk hati semua. Ada yang mula hilang harapan. Ada pula yang marah kerana merasa kata-kata Si Degil seakan sumpahan.
“Cukup! Perbalahan hanya membuang tenaga. Kalau kita tidak bersatu, kemarau ini akan menghapuskan kita lebih cepat.” Bentak Si Bijak yang biasanya tenang.
“Bersatu?” Apa gunanya? Kau fikir tenaga kita yang sekecil ini mampu menahan panas matahari?” Si Degil ketawa sinis.
“Lebih baik kita mencuba daripada menyerah. Kalau semua bergerak serentak, kita boleh membuat pusaran air. Air yang sedikit ini akan berputar, menyejukkan dasar dan tidak cepat kering.” Si Lincah yang selalu bersuara lantang.
Sebahagian mengangguk setuju. Tetapi ada juga yang masih ragu. Konflik itu berlarutan berhari-hari. Membuat kumpulan jentik-jentik terbahagi dua. Satu percaya pada perpaduan, satu lagi lebih suka berdiam.
Akhirnya kumpulan yang dipimpin Si Bijak dan Si Lincah mula bekerja. Mereka menggerakkan ekor secara berirama dan mencipta pusaran kecil di dasar tempayan. Si Lemah pula menempel pada rumpai hijau yang hampir layu. Melindungi dengan tubuh kecilnya agar tidak hancur.
Kerja itu tidak mudah. Setiap kali mereka berputar, kumpulan yang enggan bekerjasama hanya terapung di permukaan.
“Kau lihatlah usaha mereka sia-sia. Air tetap menyusut,” ejek Si Degil kepada pengikutnya. Benar, air makin surut. Tetapi berkat pusaran kecil itu dasar tempayan masih lembap. Tidak kering sepenuhnya. Anak-anak jentik-jentik yang baru menetas masih ada ruang hidup.
Suatu petang, bayangan besar menjengah dari atas tempayan. Tangan manusia menimba sisa air dan menuang ke dalam baldi. Jentik-jentik bertempiaran ketakutan. Beberapa ekor tersedut keluar. Hilang dari dunia mereka.
“Lihat! Bekerja keras pun, akhirnya kita dimusnahkan juga. Lebih baik kita tunggu sahaja maut!” sergah Si Degil.
Kata-kata itu hampir melumpuhkan semangat. Tetapi Si Bijak masih teguh.
“Benar. Kita kecil, rapuh. Tapi jangan lupa kita masih hidup. Selagi ada sisa air, kita wajib berjuang. Mungkin kita tidak dapat mengubah tangan manusia atau panas matahari tapi kita boleh mengubah diri dengan bersatu.”
Kata-kata itu menggetarkan hati yang mendengar. Buat pertama kali, Si Degil terdiam. Hari demi hari, mereka terus bertahan. Namun tragedi berlaku apabila rumpai terakhir yang menjadi teduhan kering dan patah. Anak-anak kecil mula mati terapung.
“Kita tak mampu lagi…” rintih Si Lemah.
Si Degil yang keras kepala akhirnya bersuara dengan nada berbeza. “Aku… aku tidak mahu melihat kita pupus begini. Maafkan aku kerana melemahkan semangat kalian. Izinkan aku membantu.”
“Tiada kata terlambat untuk bersatu. Marilah, kita cuba sekali lagi.” sambung Si Degil.
Jentik-jentik tanpa ada yang terkecuali mula bergerak bersama. Mereka membuat pusaran besar. Lebih kuat daripada sebelumnya. Tenaga mereka yang bergabung menghasilkan arus kecil.
Menjaga kelembapan walau air hampir hilang. Walaupun penat, tiada yang menyerah.
Langit akhirnya berubah. Awan gelap berkumpul. Angin membawa bau hujan. Titis hujan pertama jatuh mencipta riak kecil di permukaan tempayan. Disusuli ribuan titis yang mencurah memenuhi tempayan dengan cepat.
“Air! Air kembali!” jerit Si Lincah. Jentik-jentik menari riang dalam pusaran hujan. Mereka selamat. Mereka tahu bukan kerana keberanian seekor tetapi perpaduan.
“Ingatlah, perpaduan itulah yang menahan kita daripada kehancuran. Sekiranya kita terus berpecah, hujan ini mungkin tidak sempat tiba untuk menyelamatkan.” Si Bijak tersenyum puas.
“Kau benar, wahai Bijak. Aku belajar sesuatu hari ini. Kebebalan dan ego hanya mempercepatkan kehancuran. Mulai hari ini, aku akan menjaga perpaduan kita.” Si Degil menunduk malu.
Hujan deras telah menyelamatkan mereka. Tempayan yang hampir kering kini kembali penuh. Jernih berkilauan di bawah cahaya bulan. Jentik-jentik menari riang, merayakan kehidupan yang pulih. Dalam kegembiraan itu, benih konflik baru mulai tumbuh. Si Degil yang pernah menentang perpaduan mula menukar wajah.
“Lihatlah. Jika bukan kerana aku akhirnya turun membantu, kalian tentu sudah mati. Jangan lupa, aku penyelamat kalian,” katanya lantang kepada sekumpulan pengikut.
Pengikutnya bersorak kecil. Mereka yang muda terpesona dengan suara lantang Si Degil.
“Penyelamat kita adalah perpaduan bukan seorang.” Si Bijak menggeleng kepala.
“Kenapa kita perlu mendengar kata-kata Si Bijak yang lemah? Aku lebih gagah, lebih berani. Biarlah aku memimpin kita mulai hari ini,” balas Si Degil menyemai pengaruh. Kata-kata itu mencetuskan perpecahan. Ada yang setia pada Si Bijak, ada yang terpesona pada Si Degil. Tempayan yang baru kembali tenang mula berkocak kerana pertelingkahan dalaman.
“Kita tidak boleh berpecah lagi. Kemarau belum berakhir, tangan manusia masih akan menimba air. Kalau kita berkelahi, kita hanya mempercepatkan kematian,” ujar Si Lincah.Tetapi Si Degil tidak peduli.
“Kami tidak perlukan kalian. Kami mampu bertahan tanpa rumpai usang itu tanpa nasihat Si Bijak yang sudah uzur.”
Kumpulan itu mula menguasai bahagian tengah tempayan, menolak yang lain ke tepi. Si Lemah dan anak-anak kecil terpaksa berlindung di celah dinding tempayan yang sempit.
“Ini tidak adil. Kita sepatutnya saling menjaga bukan menindas,” rintih Si Lemah. Si Bijak hanya tersenyum pahit. “Inilah penyakit lama. Apabila air melimpah, mereka lupa pada derita ketika kekeringan.”
Tidak lama selepas itu, bahaya baru muncul. Seekor ikan gapi kecil dimasukkan oleh tangan manusia ke dalam tempayan. Tujuannya memakan jentik-jentik yang dianggap pembawa penyakit.
Kehadirannya menggemparkan seluruh penghuni. Dalam sekelip mata, beberapa jentik-jentik ditelan rakus. Riak kegembiraan bertukar menjadi gelombang ketakutan.
“Kita harus bersatu melawan ini!” jerit Si Lincah.
“Selamatkan diri masing-masing! Siapa kuat, dia hidup. Siapa lemah, biar dimakan!” jerit Si Degil lantang.
Berlarilah pengikutnya ke arah tengah. Berenang laju meninggalkan yang lemah di belakang.
Ikan gapi itu terus mengejar memilih mangsa yang terpisah. Dalam kekacauan itu, Si Bijak mengumpulkan mereka yang tersisa.
“Kita tidak boleh lawan ikan ini dengan tenaga. Kita harus gunakan akal. Ingatlah, kita masih ramai. Jika kita bergerak dalam formasi, kita boleh mengelirukan musuh.”
“Bagaimana caranya?” tanya Si Lemah dengan cemas.
“Bentuk lingkaran. Anak-anak di tengah, yang kuat di luar. Kita berpusing bersama mencipta pusaran besar. Ikan gapi akan keliru sukar memilih mangsa.” arah Si Bijak
Mereka menurut arahan Si Bijak, pusaran besar terbentuk. Ikan gapi yang lapar cuba menerkam tetapi gerakan serentak itu mencipta dinding air yang menolak serangannya. Beberapa kali ia gagal menggigit. Si Degil yang melihat dari jauh terkejut.
“Mereka benar-benar berjaya…” gumamnya. Tetapi egonya menahan dari menyertai.
Ikan gapi tidak mudah menyerah. Ia menyerang lebih garang menembusi lingkaran. Dalam kekalutan itu, Si Lincah mengorbankan dirinya. Dia berenang laju ke arah ikan itu, mengalihkan perhatian agar lingkaran tetap utuh.
“Tidak! Jangan!” jerit Si Lemah. Tetapi sudah terlambat. Si Lincah ditelan dalam sekelip mata.
Lingkaran hampir pecah tetapi Si Bijak berteriak, “Teruskan! Jangan sia-siakan pengorbanannya!”
Dengan semangat itu, mereka bertahan hingga akhirnya tangan manusia kembali menimba air. Bersama air yang tertimba, ikan gapi turut terangkat keluar dan terperangkap dalam baldi.
Tempayan kembali aman meski kehilangan banyak nyawa.
Suasana dalam tempayan berubah. Si Degil berdiri terpaku menyedari bahawa keberaniannya hanya palsu. Si Lincah yang pernah dianggap remeh rela berkorban.
“Aku… aku telah salah. Aku fikir kekuatan individu cukup untuk bertahan tapi ternyata hanya perpaduan yang menyelamatkan. Ampunilah aku.” Dia mendekati Si Bijak
“Kau tidak perlu meminta ampun kepadaku, Degil. Mintalah ampun pada mereka yang telah mati kerana kerakusanmu. Jika benar-benar insaf, buktikan dengan menjaga perpaduan ini,” balas Si
Bijak sambil menghela nafas panjang.
Hari-hari berikutnya, jentik-jentik hidup dengan lebih berhati-hati. Mereka juga sedar, tempayan bukan sekadar tempat tinggal tetapi dunia mereka. Jika dunia kecil itu mahu terus hidup, mereka mesti bersatu. Tanpa mengira siapa yang kuat, siapa yang lemah.
Malam itu, bulan penuh. Cahaya keperakan menembusi permukaan air tempayan memantul ke dasar yang bergelora dengan riak-riak kecil. Jentik-jentik berdiam diri.
“Tidakkah kalian perasan bahawa hidup kita ini hanya salinan kecil daripada hidup manusia?” kata Si Bijak, suaranya serak tetapi bergetar dengan makna. Jentik-jentik menoleh. Ada yang bingung dan ada yang tertarik.
“Kita berpecah, mereka juga berpecah. Kita berselisih tentang pemimpin, mereka juga bergaduh kerana kuasa. Kita kehilangan saudara kerana keangkuhan, manusia pun sama, kehilangan kerana tamak.”
“Benar… tempayan ini ibarat sebuah negeri. Kita rakyatnya, air adalah tanahnya, rumpai, dasar adalah harta dan warisannya. Jika kita merosakkan semuanya kerana perebutan, kita binasa tanpa sempat menyalahkan sesiapa.” Si Lemah mengangguk.
Kata-kata itu menusuk hati. Si Degil yang selama ini lantang menolak perpaduan hanya tunduk. Setiap titisan air yang memercik pada tubuhnya terasa seperti sindiran.
“Aku telah menjadi bayangan manusia yang tamak,” katanya perlahan.
“Aku memecahkan kita hanya kerana ingin diangkat sebagai pemimpin. Akhirnya aku hampir membinasakan semua. Tetapi pengorbanan Si Lincah membuka mataku.”
Hari-hari berlalu dengan lebih tenang. Jentik-jentik kini membentuk sistem yang lebih teratur. Mereka tidak lagi bersaing merebut bahagian tengah tempayan atau menghina yang lemah.
Sebaliknya, mereka berkumpul dalam bulatan besar setiap kali ancaman datang. Mengangkat yang lemah ke tengah, sementara yang kuat melindunginya di luar.
“Beginilah sepatutnya masyarakat. Yang kuat melindungi yang lemah. Kekuatan bukan pada siapa yang pantas tetapi pada siapa yang rela memikul yang lain,” ujar Si Bijak.
Si Degil kini menjadi antara yang paling setia. Dialah yang sering berenang di barisan hadapan setiap kali pusaran harus dibentuk. Dia menebus silapnya dengan tindakan bukan hanya kata-kata.
Suatu pagi, hujan lagi memenuhi tempayan hingga melimpah. Jentik-jentik gembira tetapi Si Bijak memandang dengan mata redup.
“Air yang melimpah ini mengingatkan aku. Hidup kita bergantung pada air tetapi air juga boleh menjadi bencana. Jika banyak kita hanyut. Jika sedikit kita mati. Keseimbanganlah kunci kehidupan,” katanya.
“Maksudmu?” Tanya Si Lemah.
“Maksudku, manusia juga begitu. Harta dan kuasa ibarat air. Jika kurang mereka sengsara. Jika berlebihan, mereka tenggelam dalam kerakusan. Hanya dengan keseimbangan, mereka boleh hidup adil.”
Semua terdiam. Mereka tidak pernah melupakan Si Lincah. Setiap kali berenang dalam lingkaran. Si Lincah disebut sebagai tanda hormat.
“Dialah lambang perpaduan,” kata Si Lemah.
Seorang anak kecil datang ke halaman. Dia meninjau ke dalam tempayan. lalu menimba sedikit air untuk menyiram pokok. Tempayan kembali beriak dan jentik-jentik berpusing bersama dalam pusaran. Mereka tidak lagi takut kerana selama mereka bersatu, tiada apa yang mampu memusnahkan mereka.
Di bawah cahaya matahari permukaan air memantulkan wajah anak kecil itu. Tetapi bagi jentik-jentik yang mereka lihat bukanlah wajah manusia semata-mata. Mereka melihat cermin: cermin kepada kehidupan manusia yang lebih besar di luar tempayan.
Manusia dan jentik-jentik sama-sama kecil di hadapan alam. Sama-sama rapuh di hadapan takdir. Bezanya hanya satu, manusia punya pilihan untuk belajar daripada makhluk sekecil mereka. Di dasar tempayan, gema suara Si Bijak terus hidup. – UTUSAN










