Hakim AS tolak saman tuduh UNRWA biayai Hamas - Utusan Malaysia

Hakim AS tolak saman tuduh UNRWA biayai Hamas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) menolak saman terhadap Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang menuduh agensi itu membiayai serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023, lapor The New York Times.

Hakim Analisa Torres dari Mahkamah Daerah Persekutuan di Manhattan memutuskan UNRWA mempunyai kekebalan diplomatik kerana beroperasi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Saman itu difailkan oleh kira-kira 100 plaintif warga Israel, termasuk mangsa serangan, waris yang terbunuh dan sekurang-kurangnya seorang tebusan.

Mereka menuduh UNRWA membayar pekerja tempatan dalam bentuk tunai dan memaksa mereka menukarnya melalui penukar wang yang dikaitkan dengan Hamas.

Pentadbiran Trump sebelum ini menyokong saman itu dan mendesak UNRWA serta pegawai-pegawainya, termasuk Pesuruhjaya Agung Philippe Lazzarini, tidak diberikan kekebalan.

Bagaimanapun, pentadbiran terdahulu di bawah Joe Biden berpendirian bahawa UNRWA kekal kebal daripada tindakan undang-undang – pandangan yang turut dikongsi oleh hakim dalam kes ini.

UNRWA menafikan dakwaan Israel yang mendakwa wujud kaitan antara kakitangan agensi itu dengan kumpulan militan, menyatakan Israel gagal mengemukakan bukti yang diminta berkali-kali.

Malah, siasatan bebas oleh Pejabat Perkhidmatan Pengawasan Dalaman PBB (OIOS) yang dijalankan atas permintaan Setiausaha Agung PBB mendapati tiada bukti dalam satu kes, bukti tidak mencukupi dalam sembilan kes, dan sembilan lagi kes masih belum disahkan sepenuhnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×