TUNIS: Seorang lelaki berusia 51 tahun dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah Tunisia bagi beberapa kiriman di Facebook yang dianggap menghina Presiden Kais Saied dan mengancam keselamatan negara, menurut peguamnya pada Jumaat.
Tertuduh, Saber Chouchen, disabitkan bersalah Rabu lalu bagi tiga pertuduhan iaitu cubaan menggulingkan kerajaan, menghina presiden, serta menyebarkan maklumat palsu di media sosial.
Mahkamah menyatakan kandungan kiriman tersebut mencetuskan unsur hasutan, kekacauan, dan melanggar Kanun Keseksaan Tunisia serta Dekri 54, undang-undang jenayah siber yang kontroversi diperkenalkan pada 2022.
Hukuman ini menjadi yang pertama seumpamanya di Tunisia sejak Presiden Saied mengambil alih kuasa penuh eksekutif dan legislatif pada Julai 2021, tindakan yang dilihat sebagai merencatkan demokrasi di negara itu.
Walaupun hukuman mati masih terdapat dalam undang-undang Tunisia, tiada pelaksanaan hukuman gantung sejak 1991, menjadikan keputusan ini sebagai satu langkah mengejutkan dan mengundang kritikan antarabangsa.
Peguam tertuduh, Oussama Bouthelja, berkata anak guamnya telah ditahan sejak Januari 2024 dan merupakan bapa kepada tiga anak, bekerja sebagai buruh harian dan menghidap kecacatan kekal akibat kemalangan tempat kerja.
Menurut Bouthelja, Saber mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah dan tidak mempunyai pengaruh besar di media sosial. “Kebanyakan kandungan yang dikongsikan hanyalah salinan dari halaman lain dan hampir tidak menerima sebarang reaksi,” katanya.
Tertuduh juga dilaporkan menyatakan kepada mahkamah bahawa niatnya hanyalah untuk menarik perhatian pihak berkuasa terhadap kesempitan hidupnya, bukannya mencetuskan kekacauan atau merancang rampasan kuasa.
Dekri 54, yang digunakan untuk menghukum Saber, dikecam oleh kumpulan hak asasi manusia dan wartawan sebagai alat rejim untuk menyekat kebebasan bersuara. Undang-undang itu menjadikan penyebaran “berita palsu” satu kesalahan jenayah yang berat.
Tunisia, yang pernah menjadi simbol kejayaan Arab Spring, kini dilihat semakin menuju ke arah pemerintahan autoritarian di bawah Presiden Saied, dengan kebanyakan pengkritik kerajaan sama ada dipenjara atau melarikan diri ke luar negara.










