CEBU: Pihak berkuasa Filipina semalam menamatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi kuat di wilayah Cebu selepas jumlah korban rasmi mencecah 72 orang, dengan semua individu dilaporkan hilang kini telah dikenal pasti.
Tumpuan kini beralih kepada usaha menyalurkan bantuan kepada puluhan ribu mangsa terselamat dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.9 yang melanda perairan berhampiran pulau utama Cebu lewat Selasa lalu.
Menurut pihak berkuasa, bencana itu adalah gempa bumi paling dahsyat melanda Filipina dalam tempoh lebih sedekad, mengakibatkan lebih 20,000 orang kehilangan tempat tinggal selain mencederakan lebih 300 yang lain.
Presiden Ferdinand Marcos Jr. semalam melawat Bogo, sebuah bandar berpenduduk 90,000 orang yang paling teruk terjejas, bagi menenangkan mangsa serta memberi jaminan kerajaan akan memastikan bekalan asas disediakan.
“Kami menghadapi kesukaran kerana tidak pasti tahap keselamatan pusat pemindahan. Namun kami akan pastikan bekalan makanan, air dan elektrik disediakan, termasuk menggunakan generator jika perlu. Apa sahaja keperluan rakyat, kerajaan akan sediakan,” katanya.
Sebahagian besar mangsa maut akibat runtuhan bangunan dan rumah yang tidak mampu menampung gegaran kuat, selain tanah runtuh yang tercetus selepas itu.
Keadaan bertambah sukar apabila hujan lebat serta ketiadaan bekalan elektrik melambatkan operasi mencari mangsa.
Filipina terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon gunung berapi dan gempa bumi aktif yang meliputi kawasan dari Amerika Selatan hingga ke Timur Jauh Russia serta pernah merekodkan lebih 800 gegaran setiap tahun. -AGENSI










