NEW DELHI: India dan China bakal menyambung semula penerbangan terus antara bandar-bandar utama bulan ini, menamatkan pembekuan lebih lima tahun dalam hubungan udara kedua-dua negara yang terhenti sejak 2020.
Pengumuman itu dibuat oleh Kementerian Luar India pada Khamis, dalam langkah sebagai isyarat awal kepada pelonggaran ketegangan dua hala yang telah lama membeku, meskipun China kekal sebagai rakan dagang terbesar India.
Syarikat penerbangan utama India, IndiGo, mengesahkan ia akan memulakan penerbangan harian tanpa henti dari Kolkata ke Guangzhou bermula 26 Oktober ini. IndiGo juga merancang membuka laluan baharu dari New Delhi ke salah satu bandar utama di China dalam masa terdekat.
Perkembangan ini hadir selepas lawatan berprofil tinggi oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi ke China bulan lalu iaitu kunjungan pertama beliau dalam tempoh tujuh tahun bagi menghadiri mesyuarat blok keselamatan serantau, Shanghai Cooperation Organisation (SCO).
Dalam pertemuan itu, Modi dan Presiden China, Xi Jinping menekankan kedua-dua negara adalah rakan dalam pembangunan, bukannya pesaing.
Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai pengukuhan hubungan perdagangan, ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan tarif global.
Modi dalam pertemuan tersebut turut menyatakan komitmen India untuk memperbaiki hubungan dua hala, sambil mengutarakan isu defisit dagangan dengan China yang kini mencecah hampir AS$99.2 bilion.
Beliau juga menegaskan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan yang masih dipertikaikan.
Sambungan semula laluan penerbangan ini dijangka menjadi langkah simbolik penting ke arah pemulihan hubungan diplomatik dan ekonomi antara dua kuasa besar Asia tersebut.









