Israel pintas kapal flotila guna bot laju, unit paragliding - Utusan Malaysia

Israel pintas kapal flotila guna bot laju, unit paragliding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Wilayah Palestin Yang Dijajah, Francesca Albanese, mendedahkan Israel menggunakan pelbagai aset ketenteraan seperti bot laju, kapal besar dan unit paragliding untuk menghalang kapal terakhir dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) daripada memasuki perairan Gaza.

Dalam satu kenyataan yang dibuat di platform X, Albanese menyifatkan tindakan Israel itu sebagai “kesombongan luar biasa” yang memperlihatkan “kerapuhan sebenar” rejim tersebut.

“Amaran: Bot laju, kapal besar dan paragliding sedang dilancarkan Israel terhadap kapal terakhir flotila @gbsumudflotilla yang cuba sampai ke Gaza,” tulis beliau.

Flotila GSF yang terdiri daripada aktivis, peguam dan ahli parlimen dari lebih 40 negara membawa misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang kini terperangkap di bawah sekatan ketat, menghadapi kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan.

Albanese menyeru negara-negara yang memiliki armada laut supaya mengambil tindakan untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

“Jika rakyat biasa dengan bot kecil dan sumber terhad boleh sampai ke 60 batu nautika dari Gaza, mengapa negara-negara dengan tentera laut tidak bertindak?” soal beliau.

Sebelum ini, Albanese turut mengutuk tindakan Israel yang memintas flotila bantuan tersebut sebagai pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan menuntut pembebasan segera aktivis yang ditahan serta pengembalian kapal.

Selain itu, satu lagi flotila dilaporkan sedang belayar dari Sicily, Itali menuju ke Gaza, menunjukkan usaha berterusan aktivis global dalam menghantar bantuan dan memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan sekatan kejam ke atas wilayah tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×