ROM: Tindakan Israel memintas misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menghampiri Gaza mencetuskan kecaman dunia dan gelombang protes di Eropah, dengan ribuan menyertai perhimpunan bantahan dan kesatuan buruh di Itali mengumumkan mogok nasional.
Demonstrasi tercetus di Berlin, Buenos Aires, Barcelona, Brussels dan Istanbul sementara di Naples, penunjuk perasaan menyerbu stesen kereta api utama hingga mengganggu trafik.
Di Rom, polis mengepung Stesen Termini selepas ratusan berkumpul di pintu masuk, manakala aktivis di Genoa merancang sekatan di pelabuhan.
Mogok di Itali
Kesatuan buruh Unione Sindacale di Base (USB), yang sebelum ini berikrar mengadakan mogok jika flotila diserang, menyeru tindakan tersebut secara besar-besaran pada Jumaat.
“Israel menyerang armada Global Sumud. Israel menyerang undang-undang antarabangsa. Kini masanya untuk menyekat segalanya,” kata USB di X.
Kesatuan terbesar Itali, CGIL segera menyertai gesaan itu, menyifatkan serangan terhadap kapal yang membawa warganegara Itali sebagai perkara yang amat serius.
Mogok umum ini merupakan kali kedua dalam beberapa minggu diadakan di Itali bagi menyokong Gaza, selepas mogok pada 22 September yang berakhir dengan rusuhan di Milan.
Sejak beberapa minggu lalu, pekerja pelabuhan Itali turut menghalang kapal yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan Israel.
Flotila tersebut, yang sarat dengan makanan dan ubat-ubatan, berlayar pada hujung Ogos dan dijadual tiba di Gaza pada Khamis pagi.
Namun, ia dipintas meskipun terdapat jaminan dari Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, pihak Israel tidak akan menggunakan kekerasan terhadap peserta.
Usir diplomat Israel
Presiden Colombia, Gustavo Petro pada Rabu mengusir semua diplomat Israel yang masih berada di negaranya susulan tindakan Israel memintas flotila bantuan menuju Gaza dan penahanan dua aktivis Colombia.
Petro mengesahkan dua wanita, Manuela Bedoya dan Luna Barreto menyertai misi GSF dan menuntut pembebasan segera kedua-dua warganegaranya itu.
Menerusi platform X, Petro mengumumkan pengusiran seluruh delegasi diplomatik Israel kerana apa yang beliau gelar sebagai ‘jenayah antarabangsa terbaharu’ oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Beliau turut menamatkan perjanjian perdagangan bebas dengan Israel yang berkuat kuasa sejak 2020.

Petro sebelum ini antara pengkritik paling lantang Netanyahu, melabelnya sebagai ‘pembunuh beramai-ramai’, malah menuduh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai sekutu genosid rejim itu di Gaza.
Minggu lalu, beliau menghadiri protes pro-Palestin di New York dan menyeru tentera AS supaya ingkar arahan Trump.
Washington kemudian membatalkan visa beliau susulan kenyataan tersebut.
Pemimpin kanan Turkiye mengecam keras tindakan Israel memintas misi GSF dengan Speaker Parlimen, Numan Kurtulmus menegaskan laporan menunjukkan pasukan Israel yang digelar sebagai ‘kekuatan pengganas’ mengepung flotila ketika menghampiri pantai Gaza dan melaksanakan serangan.
“Sebarang serangan terhadap kapal-kapal GSF adalah pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan satu jenayah,” katanya.
Naib Presiden, Cevdet Yılmaz, turut menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sah dan tidak bertamadun.
Pengarah Komunikasi Presiden, Burhanettin Duran, dalam kenyataan tegas berkata,
Israel kini menambah satu lagi jenayah dengan menyerang aktivis aman di perairan antarabangsa sambil menggesa masyarakat dunia bersuara menentang serangan tidak berperikemanusiaan dan haram itu.
Menteri Luar Ireland, Simon Harris, menyifatkan misi GSF hanyalah usaha aman untuk memberi perhatian terhadap malapetaka kemanusiaan dahsyat yang berlaku di Gaza
“Saya berhubung rapat dengan pegawai saya di lapangan dan turut berbincang dengan rakan sejawatan EU mengenai flotila ini,” katanya di X.
Kecaman Amerika Selatan
Venezuela melalui Menteri Luar, Yvan Gil turut mengecam keras tindakan Israel dengan menyifatkan serangan ke atas flotila sebagai tindakan lanun pengecut.
Dalam kenyataan di Telegram, beliau berkata, tentera Israel menyerang misi aman dan awam yang hanya bertujuan menghantar 5,500 tan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang dizalimi kebuluran dan kemusnahan.
Menurut kenyataan itu, tindakan Israel menaiki kapal flotila di perairan antarabangsa sekali lagi mendedahkan sifat jenayah rejim Zionis.
“Sekatan terhadap bantuan kemanusiaan adalah alat perang yang disengajakan, kesinambungan genosid dengan cara lain, bertujuan melenyapkan penduduk melalui kelaparan bagi melengkapkan pengeboman tanpa pilih kasih,” kata Gil.
Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira, mengesahkan kebimbangan negara terhadap keselamatan 15 warganya yang berada di atas kapal flotilla, termasuk seorang timbalan persekutuan.
Kerajaan Presiden Luiz Inacio Lula da Silva berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menekankan keperluan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita di Gaza.
Beliau turut menegaskan Israel bertanggungjawab atas keselamatan aktivis dan peserta flotilla.
Sementara itu, kerajaan Uruguay meluahkan kebimbangan serius terhadap tindakan Israel dan menggesa kerajaan Zionis menghormati keselamatan aktivis serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Presiden Bolivia, Luis Arce berkata, negara itu mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam yang disifatkan tindakan keganasan serta pelanggaran secara terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, dasar keganasan negara yang dipromosikan Netanyahu bukan alasan untuk menyerang orang awam yang tidak bersenjata.
Kerajaan Chile pimpinan Presiden Gabriel Boric turut menyatakan sokongan kepada konvoi GSF, yang membawa dua warganya.










