WASHINGTON: Usaha untuk menamatkan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) gagal pada Rabu, apabila anggota Demokrat meninggalkan Kongres tanpa menyelesaikan pertikaian pembiayaan dengan Presiden Donald Trump, sambil Rumah Putih mengancam pekerjaan sektor awam.
Pembiayaan persekutuan tamat pada tengah malam selepas Trump dan penggubal undang-undang gagal mencapai persetujuan untuk mengekalkan operasi kerajaan, mendorong agensi menghentikan perkhidmatan, manakala Rumah Putih memberi amaran mengenai pemecatan pekerja sektor awam yang ‘hampir pasti berlaku’.
Demokrat Senat, yang menuntut subsidi penjagaan kesihatan untuk keluarga berpendapatan rendah dilanjutkan, enggan membantu majoriti Republikan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan Dewan, untuk membuka semula kerajaan selama beberapa minggu sementara rundingan diteruskan.
Pengundian di Senat kini ditangguhkan sehingga Jumaat, bermakna harapan untuk penyelesaian segera terjejas.
Seramai 750,000 pekerja persekutuan dijangka diletakkan dalam cuti sementara, dengan gaji ditahan sehingga mereka kembali bekerja.
Pekerja penting, seperti tentera dan ejen sempadan, mungkin terpaksa bekerja tanpa gaji dan sesetengah daripada mereka dijangka tidak menerima gaji bermula minggu depan.
Krisis itu mempunyai risiko lebih tinggi berbanding penutupan kerajaan sebelumnya, dengan Trump bergegas menggubal dasar yang berhaluan keras, termasuk memotong jabatan kerajaan dan mengancam menukar sebahagian besar pekerja bercuti sementara kepada pemecatan besar-besaran.
Jurucakapnya, Karoline Leavitt memberitahu pemberita, pentadbiran bekerjasama dengan semua agensi mengenal pasti kawasan di mana pemotongan boleh dibuat dan tidak menolak kemungkinan mengenai langkah pemecatan.
Penutupan kerajaan adalah ciri berkala di Washington yang sering tersekat, walaupun ini yang pertama sejak penutupan rekod 35 hari pada 2019, semasa penggal pertama Trump.
Parti Demokrat yang marah kerana subsidi penjagaan kesihatan hampir tamat dan Trump melemahkan agensi kerajaan, enggan mengundi di Senat untuk meluluskan dana kerajaan, sebagai cara memaksa rundingan berlaku.










