COX’S BAZAR: Masyarakat Rohingya di negeri Rakhine, Myanmar kini berdepan krisis kelaparan yang semakin meruncing ekoran gabungan konflik bersenjata, sekatan bantuan dan kekurangan dana, menurut Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kisah pilu seorang ibu Rohingya, Ajib Bahar, 38, yang kehilangan anak lelakinya berusia enam bulan akibat kelaparan, menggambarkan betapa terdesaknya keadaan di wilayah itu.
“Anak-anak saya menangis kelaparan setiap malam. Saya terpaksa merebus rumput untuk diberi makan supaya mereka berhenti menangis,” kata Bahar, kini menetap di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.
Rakhine, sebuah negeri pantai barat Myanmar yang sekian lama dilanda konflik etnik, kebanyakannya menyasarkan masyarakat Islam Rohingya, kini menyaksikan lebih 100,000 kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan teruk, dengan hanya dua peratus mendapat rawatan sewajarnya.
Michael Dunford, wakil WFP di Myanmar, berkata pihaknya tidak dapat menyalurkan makanan melepasi bandar Sittwe yang dikuasai junta, akibat sekatan tentera dan pertempuran dengan kumpulan bersenjata Arakan Army.
“Ini jelas menyumbang kepada lonjakan kebuluran yang kita saksikan. Kami benar-benar kecewa kerana tahu ada penduduk yang sangat memerlukan bantuan,” katanya.
Seorang jurucakap Arakan Army pula menuduh tentera Myanmar menghalang aliran makanan dan ubat-ubatan, meskipun pihaknya bekerjasama dengan agensi antarabangsa untuk mengekang kenaikan harga barangan asas.
Situasi itu amat kritikal di kem penempatan dalaman di Rakhine, yang dihuni puluhan ribu Rohingya sejak gelombang keganasan terdahulu.
Data menunjukkan jumlah penduduk hidup dalam keadaan kekurangan makanan melonjak hampir sepuluh kali ganda antara September 2023 hingga Ogos lalu.
Dalam tempoh enam bulan terakhir, ribuan masyarakat Rohingya dilaporkan melarikan diri ke Bangladesh dalam keadaan kesihatan lebih buruk berbanding sebelum ini.
Ramai kanak-kanak bawah lima tahun serta wanita hamil mengalami masalah kekurangan zat makanan serius.
Organisasi International Rescue Committee (IRC) berkata kekangan dana global dan tekanan terhadap sistem kesihatan menyukarkan usaha membantu pelarian.
Pada persidangan peringkat tinggi PBB di New York minggu ini, Amerika Syarikat dan Britain mengumumkan bantuan tambahan AS$96 juta (RM403 juta) untuk menyokong lebih sejuta pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh.
Namun, selagi konflik dan sekatan berterusan di Rakhine, nasib masyarakat Rohingya dijangka terus bergantung kepada belas ihsan antarabangsa. –AGENSI










