PETALING JAYA: Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) semakin menghampiri Gaza apabila sudah memasuki zon kuning di lautan Mediterranean malam tadi sekitar pukul 9.18 malam (waktu Malaysia) dengan jarak kira-kira 300 batu nautika atau 555 kilometer lagi dari wilayah Palestin itu.
Kedudukan ini mendedahkan mereka kepada risiko serangan rejim Zionis sama ada menggunakan dron atau tentera komando terhadap 46 buah kapal GSF dari 42 negara dengan 400 pelayar termasuk 34 rakyat Malaysia.
Misi GSF adalah membawa bantuan kepada penduduk Gaza dan simbolik bagi memecahkan sekatan Israel.
Malah, jika kapal-kapal GSF itu berjaya memasuki zon merah iaitu kira-kira 100 kilometer lagi dari Gaza mereka akan berhadapan dengan ancaman lebih serius di mana Israel berikrar akan memastikan kapal-kapal tersebut dihentikan dengan apa cara sekalipun.
Pada tahun 2010, Israel mengebom kapal Handala, menyerang kapal Mavi Marmara dan MV Rachel Corrie serta kapal Madleen pada 2023 yang membunuh 10 aktivis selain ratusan lagi cedera ketika mereka di zon merah.

Tindakan sama dipercayai bakal menimpa Sumud Flotilla.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keberanian aktivis antarabangsa dan Malaysia yang menyertai GSF adalah lambang solidariti dunia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Katanya, penyertaan mereka bukan sekadar misi bantuan tetapi simbol keteguhan hati masyarakat antarabangsa menolak keganasan yang ditaja dan mempertahankan hak rakyat Palestin.
“Pendirian konsisten Malaysia dalam menentang penjajahan Zionis dan kolonialisme penempatan haram di Palestin membuktikan komitmen negara memperjuangkan keadilan tanpa mengira sempadan politik atau geografi.
“Isu Gaza juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas iaitu bagaimana konflik dan penindasan mampu menjejaskan keseluruhan struktur keselamatan sosial global apabila hak-hak asas manusia diketepikan.
“Solidariti dalam gerakan sosial tidak boleh hanya berlegar pada isu tempatan, ia mesti melangkaui sempadan,” katanya semasa merasmikan Forum Perlindungan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim dalam sidang media semalam berkata, secara tepatnya, konvoi itu berada sekitar 21 batu nautika ke zon itu yang mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre berkata, ketika ini, konvoi berada sekitar 366 batu nautika daripada pesisiran Gaza.
“Setakat ini juga, tiada laporan aktiviti dan ancaman dron dilaporkan semalam dan kesemua delegasi Malaysia dilaporkan berada di dalam keadaan sihat dan baik.
“Zon kuning bukanlah kawasan yang dijangkakan untuk dipintas oleh Zionis kerana ia masih perairan antarabangsa kecuali zon merah,” katanya.
Katanya, jika konvoi itu dipintas di kawasan zon kuning, mereka masih berada dalam keadaan dan lokasi yang tidak boleh dipersalahkan.
Sany Araby berkata, pihaknya menjangkakan konvoi itu dijangka memasuki zon merah atau perairan Gaza pada Khamis ini.
Menurutnya, mereka menjangkakan misi bakal berdepan sedikit kelewatan kemungkinan akibat cuaca tidak elok.
“Saya ingin menafikan ramalan yang dibuat di luar sana bahawa kapal ini akan masuk perairan Gaza esok hari.
“Saya faham bahawa ada banyak pendukung-pendukung yang membuat analisa tersendiri tetapi kita mohon untuk dapatkan maklumat yang tepat dan semasa daripada kami,” katanya.
Ditanya sama ada dua kapal perang Itali dan Sepanyol akan teruskan perjalanan ke zon kuning bagi melindungi misi itu, Sani Araby berkata, beliau tidak mendapat maklumat bahawa kedua-dua kapal itu berundur atau menarik diri.
“Setakat sekarang ni, mereka tidak buat keputusan untuk berundur. Mereka hanya maklumkan yang mereka masih bersama,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Sani Araby juga mengesahkan hanya 46 kapal meneruskan misi berkenaan selepas sebuah kapal pemantau, Johnny M telah rosak akibat enjin dimasuki air.
Bagaimanapun, katanya, kesemua peserta dalam kapal itu dipindahkan ke kapal lain termasuk enam peserta dari Malaysia.
“Johnny M tidak dapat meneruskan misi pelayaran lagi justeru daripada 47 kapal yang kita ada, kini tinggal 46 kapal,” katanya.
Sementara itu, Israel mengulangi amaran keras terhadap mana-mana kapal yang memasuki zon merah akan dihentikan dengan apa cara sekali pun. – UTUSAN











