Menulis untuk menyebar kebenaran, menolak mazmumah

Menulis untuk menyebar kebenaran, menolak mazmumah

KETIADAAN prinsip kewartawanan profesional dan kawalan penapisan menyebabkan sebahagian penulisan di media sosial kurang objektif, cenderung emosional serta tidak menepati etika penulisan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULIS dalam apa bentuk sekali pun merupakan proses yang melibatkan penyusunan dan pembentangan idea sesuatu tajuk atau isu yang ingin dipersembahkan kepada pembaca.

Ia disampaikan untuk memberi penjelasan dan kefahaman kepada pembaca menerusi penggunaan bahasa yang sesuai dan mudah difahami serta teknik penulisan yang baik.

Menurut Zainal Abidin Ahmad atau Za’aba (1965), “mengarang (menulis) adalah proses membuat beberapa ayat yang saling berhubung dengan betul untuk menceritakan sesuatu perkara hingga cukup memberi faham akan maksud yang disebutkan itu”.

Ketika menulis, penulis sebenarnya sedang mengorganisasi gagasan pemikiran secara sistematik dalam bentuk penulisan yang berstruktur.

Penulis akan mengungkapkan ideanya atau pandangannya secara tersurat atau tersirat. Maknanya, bila menulis mengenai sesuatu perkara maka kita perlu mengemukakan idea secara objektif, tersusun dan jelas serta berupaya membangun kreativiti dalam penulisan.

Aktiviti penulisan terutamanya penulisan deduktif dan penulisan induktif memerlukan kita mencari, mengetahui, menyerap dan menguasai informasi atau ilmu berkaitan tajuk. Ini penting supaya penulis mampu memecahkan permasalahan, menganalisis, menghujah, membahas dan meletakkannya dalam konteks yang lebih konkrit dan jelas.

Penulis harus sedar penulisannya berkemungkinan boleh mendatangkan reaksi atau kesan tertentu kepada pembaca atau masyarakat. Justeru, penulis yang baik mestilah bersifat teliti dan kritis termasuk dalam soal sumber maklumat yang diperoleh supaya penulis dapat menulis secara objektif selain saksama.

Penulis harus mengelak diri dari terjebak dalam perangkap kesilapan, apatah lagi kepalsuaan fakta.

Oleh itu, penulis sepatutnya tahu mencerakin, menguji, meneliti dan membezakan antara kebenaran atau kepalsuan.

Kegagalan penulis berbuat demikian akan menyebabkan ia gagal menggagaskan penulisannya dalam konteks sebenar dan tidak menepati maksud atau tujuan penulisan yang ingin dihidangkan kepada pembaca.

Penulisan yang dibina atas dasar emosional atau mengandungi agenda tidak baik seperti untuk melakukan ‘pembunuhan karakter’ seseorang boleh membawa sesorang penulis itu melampaui sempadan kewarasan (rasional).

Tulisan yang sedemikian mungkin akan terjebak dengan elemen-elemen fitnah, kebencian dan caci maki.

Bagi media konvensional seperti akhbar arus perdana, unsur-unsur mazmumah (sifat tercela) dapat dikawal kerana ia berpegang kepada etika kewartawanan yang ditetapkan, selain mempunyai kumpulan editor yang menilai serta memastikan penulisan sesuai untuk disiarkan.

Jika pun penulisan yang bersifat kritis namun ia ditulis secara rasional dan berfakta supaya pembaca juga dapat menilainya secara rasional dan kritis.

Persoalan etika penulisan atau kewartawanan sering kali tidak diendahkan oleh penulis dalam kalangan netizen media sosial yang datang daripada pelbagai latar pemikiran dan keperibadian.

Oleh kerana kebanyakannya tidak berpegang kepada prinsip kewartawanan secara profesional serta tiada pihak yang menapis atau mengawal kandungan yang ditulis, maka banyak penulisan di media sosial bersifat semborono, tidak objektif, emosional, tidak menepati adab dan etika penulisan yang sewajarnya.

Sifat ikhlas dan jujur dalam penulisan, pelaporan, pemberitaan atau apa jua bentuk penulisan penting diamalkan oleh penulis. Penulis yang berjiwa mazmumah pasti akan menghasilkan penulisan yang mengundang fitnah, kebencian, kelucahan, cacian dan pembohongan.

Malah, penulis yang tidak jujur cenderung mereka-reka cerita dengan niat jahat yang akhirnya boleh membawa keburukan kepada masyarakat atau individu yang menjadi sasarannya.

FAKTA SEBAGAI ASAS PENULISAN

Fakta merupakan elemen penting dalam sesuatu penulisan. Ia akan membentuk maklumat atau cerita yang ingin disampaikan oleh penulis. Sekiranya fakta atau maklumat itu dirujuk atau diambil dari sumber yang tidak dapat dipertanggungjawabkan kesahihannya maka penulisannya akan menimbulkan masalah kepada dirinya atau pihak tertentu.

Penulisan berasaskan fakta yang sahih penting supaya kita tidak menimpakan sesuatu kaum, masyarakat atau seseorang itu dengan perkara yang buruk.

Seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seseorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah untuk menentukan kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan” (al-Hujurat: 6).

Justeru, penulis yang beretika akan menggunakan fakta sahih yang diperoleh dari sumber yang betul dan autentik. Jika penulis itu mahu mengemukakan idea, pendapat atau hujahan berdasarkan analisis, dapatan kajian atau pandangannya maka ia akan menggunakan pemikiran dan hujahan secara rasional tanpa melampaui sempadan etika dan adab.

Penulis yang jujur dan ikhlas juga akan selalu ingat penulisan yang mempunyai unsur-unsur mazmumah akan menyebabkan keburukan (kemungkaran) tersebar dalam masyarakat.

Penulis yang beretika akan hanya mencari dan menggunakan maklumat yang benar, jelas dan dipersembahkan dengan adil melalui beradab.

Penulis yang memiliki nilai diri yang baik dan bertanggungjawab memahami kesantunan berbahasa menjadi elemen penting dalam sesuatu penulisan beradab.

Kesantunan berbahasa merujuk kepada penggunaan bahasa baik, sopan dan beradab yang dapat memancarkan kemuliaan peribadi dan menunjukkan penghormatan kepada orang lain.

Justeru, ungkapan dan perkataan-perkataan kasar, lucah, menggunakan sindiran buruk, menghina, maki hamun, membuat tuduhan dan mencerca peribadi seseorang akan dijauhinya.

Selain itu, sayugia diingat ketika menulis, penulis juga mestilah memahami penulisannya mesti diimbangi dengan beberapa prinsip lain seperti kemuliaan, harga diri, toleransi, keadilan, kesamarataan dan kasih sayang.

Kesimpulan, penulis harus bersifat bertanggungjawab dan berpegang kepada etika penulisan dengan penuh komitmen. Penulis perlu mencari kebenaran, mendidik, membetulkan penyelewengan, meluruskan salah tanggap masyarakat terhadap sesuatu isu serta mendorong masyarakat kepada kebaikan.

Penulis yang bertanggungjawab akan sentiasa ingat dirinya bertanggungjawab kepada Tuhan dan masyarakat dengan menyebarkan kebenaran dan kebaikan.-UTUSAN

 

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×