MALAYSIA menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68 dengan penuh rasa syukur dan semangat patriotisme. Sejak laungan “Merdeka” oleh Tunku Abdul Rahman pada 1957, negara ini melalui pelbagai fasa pembangunan, cabaran, serta perubahan sosial dan politik.
Namun, di sebalik semua itu, satu perkara kekal menjadi tunjang kekuatan Malaysia iaitu keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyatnya.
Bagi rakyat Malaysia, keamanan adalah nikmat yang kadangkala tidak disedari nilainya. Kehidupan seharian dapat dijalani tanpa rasa takut, peluang pendidikan tersedia luas, manakala ekonomi terus berkembang walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran global.
Kemerdekaan yang dicapai 68 tahun lalu bukan sahaja membebaskan negara daripada penjajahan tetapi juga membuka ruang untuk rakyat menentukan haluan sendiri.
Dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu, kestabilan politik dan keamanan sosial harus terus dijadikan keutamaan. Ia adalah asas pembangunan ekonomi, keutuhan masyarakat majmuk dan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara ini.
Namun, tatkala Malaysia bergembira menyambut kemerdekaan, Indonesia berdepan gelombang protes dan rusuhan yang menggoncang keamanan. Demonstrasi besar-besaran di Jakarta dan beberapa wilayah lain bermula pada 25 Ogos lalu mempamerkan realiti keamanan tidak boleh diambil mudah.
Rusuhan itu tercetus daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan serta isu-isu pentadbiran. Ia adalah peringatan kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial tidak boleh dipandang ringan.
Kejadian tersebut juga mengingatkan Malaysia keamanan yang dinikmati hari ini boleh hilang sekiranya suara rakyat tidak didengar dan keresahan mereka tidak ditangani dengan segera.
Pemerintah wajar mengambil iktibar daripada perkembangan di Indonesia. Hubungan antara kerajaan dan rakyat tidak boleh renggang, apatah lagi dalam era digital yang menyaksikan suara masyarakat dapat tersebar dengan pantas.
Denyut nadi rakyat perlu sentiasa difahami melalui dasar yang inklusif, telus dan responsif terhadap keperluan mereka.
Isu-isu seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan untuk belia, keadilan sosial dan ketelusan pentadbiran adalah antara perkara utama yang perlu diberi perhatian.
Sekiranya jurang antara pemerintah dan rakyat melebar, risiko ketidakpuasan boleh membawa kepada ketidakstabilan. Oleh itu, pendekatan berjiwa rakyat, dasar berteraskan kesejahteraan serta keterbukaan mendengar pandangan masyarakat harus menjadi amalan berterusan.
Kemerdekaan bukan sekadar angka tahunan tetapi amanah yang diwarisi daripada pengorbanan pejuang terdahulu. Mereka menentang penjajahan demi memberi peluang kepada generasi kini dan masa hadapan untuk hidup dalam kebebasan serta membina negara sendiri. Justeru, rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab mempertahankan kedaulatan ini dengan segenap jiwa.
Semangat persatuan dalam kepelbagaian kaum dan agama adalah benteng utama negara. Kesepakatan inilah yang membolehkan Malaysia terus melangkah ke hadapan tanpa terjerumus dalam konflik dalaman yang merugikan.
Rakyat Malaysia wajar menginsafi keamanan tidak datang secara percuma tetapi hasil pengorbanan, kebijaksanaan dan keazaman yang diwarisi turun-temurun. Ia mesti dijaga, dipertahankan dan dihargai.-UTUSAN
DR. MOHAMAD FAIZAL ABD. MATALIB
Pensyarah Kanan, Unit Kenegaraan dan Sejarah Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM)










