LONDON: Pendatang yang mahu kekal menetap di United Kingdom (UK) kini tidak lagi boleh hanya bergantung kepada tempoh kediaman sebaliknya bakal diwajibkan mempunyai pekerjaan dan melakukan kerja komuniti, menerusi rancangan baharu yang diumumkan oleh kementerian dalam negeri.
Ketika ini, mereka yang mempunyai keluarga di Britain dan sudah tinggal di sana selama lima tahun layak mendapat taraf penduduk tetap, begitu juga mereka yang tinggal secara sah di UK selama 10 tahun dengan sebarang jenis visa.
Pemohon yang layak dan memenuhi syarat itu juga berhak untuk tinggal, bekerja dan belajar di UK serta memohon faedah kebajikan dan kewarganegaraan Britain.
Namun dalam perubahan dasar terbesar, Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood mengumumkan, pendatang asing perlu membuat caruman keselamatan sosial, tidak menuntut faedah, mempunyai rekod jenayah yang bersih dan melakukan kerja sukarela dalam komuniti untuk kekal di negara itu.
Menurut satu kenyataan media, Shabana menggariskan rancangan tersebut pada persidangan tahunan parti pemerintah Buruh dan kerajaan bakal mengadakan rundingan mengenai perubahan itu hujung tahun ini.
Pengumuman itu dibuat sejurus selepas parti pembangkang haluan kanan tegar, Parti Reform yang kini mendahului tinjauan pendapat kebangsaan berkata, pihaknya akan menghapuskan sepenuhnya taraf penduduk tetap dengan pendatang sebaliknya perlu memohon semula visa setiap lima tahun.
Langkah itu akan terpakai kepada ratusan ribu orang yang sudah pun memiliki kebenaran menetap secara kekal.
“Tindakan ini menunjukkan garis pemisah yang jelas antara kerajaan Buruh dan Reform, yang baru-baru ini mengumumkan rancangan yang akan memaksa pekerja yang sudah menyumbang kepada negara ini selama berdekad-dekad meninggalkan rumah serta keluarga mereka,” kata kenyataan Parti Buruh.










