Pilihan Raya Datuk Bandar New York: Eric Adams tarik diri, beri laluan kepada Mamdani, Cuomo - Utusan Malaysia

Pilihan Raya Datuk Bandar New York: Eric Adams tarik diri, beri laluan kepada Mamdani, Cuomo

ERIC ADAMS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Datuk Bandar New York, Eric Adams mengejutkan arena politik apabila mengumumkan tidak akan bertanding untuk penggal kedua, sekali gus membuka ruang kepada pertembungan hangat antara calon Demokrat progresif, Zohran Mamdani dan bekas Gabenor, Andrew Cuomo, yang bertanding sebagai calon Bebas.

Pengumuman itu dibuat Adams pada Ahad menerusi satu hantaran di platform X, selepas beberapa tinjauan menunjukkan beliau tewas jauh di belakang dua pencabar utama menjelang pilihan raya Datuk Bandar pada 4 November ini.

“Walaupun banyak yang telah kita capai, saya tidak dapat meneruskan kempen untuk pemilihan semula,” kata Adams, yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 1 Januari 2026.

Peningkatan populariti Mamdani, seorang ahli politik beraliran demokratik sosialis mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan dan ahli parti Demokrat sendiri, yang bimbang tentang perpecahan undi antara Cuomo dan Adams.

Adams, bekas anggota polis dan pendukung polisi “toleransi sifar” terhadap jenayah menghadapi penurunan populariti mendadak, dengan kadar kelulusan setakat ini berada pada satu digit, sejajar dengan pencabar Republikan, Curtis Sliwa.

Awal bulan ini, Presiden Donald Trump turut menggesa Adams menarik diri, sambil memberi amaran kemenangan Mamdani akan membawa “gelombang radikal” ke New York.

Namun ketika itu, Adams menolak desakan tersebut dan bertegas untuk bertanding sebelum akhirnya akur pada tekanan realiti politik.

Dalam kenyataan terakhirnya sebagai calon, Adams sempat mengeluarkan peringatan halus terhadap gaya politik Mamdani.

“Perubahan besar dialu-alukan dan perlu, tetapi berhati-hati dengan mereka yang mendakwa penyelesaian terbaik adalah meruntuhkan sistem yang kita bina bersama selama beberapa generasi. Itu bukan perubahan, itu kekacauan,” ujarnya.

Kini, dengan Adams keluar dari gelanggang, semua tumpuan tertumpu kepada pertembungan dua tokoh berpengaruh iaitu Mamdani, wakil progresif era baharu, dan Cuomo, bekas pemimpin veteran yang cuba bangkit semula dari krisis politik silamnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×