KOTA MARUDU: Dua rumah termasuk kediaman milik Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 4, Jalan Sabit, dekat sini, tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 8.28 pagi sebelum menggerakkan sepasukan 20 anggota bersama jentera ke lokasi kejadian kira-kira lima kilometer (km).
“Ketika tiba di lokasi, anggota bomba bertindak memadam kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran. Dua rumah musnah sepenuhnya.
“Salah sebuah rumah yang terbakar adalah rumah Pegawai Kanan Bomba, Thaddeus Boinon yang bertugas di Zon 3 Sabah, Kudat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu, manakala siasatan berhubung punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang dijalankan.
Api berjaya dikawal pada 9.17 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 10.30 pagi. – UTUSAN











