PETALING JAYA: Safee Sali tampil menyeru rakyat Malaysia agar berdiri teguh di belakang skuad kebangsaan ketika berdepan ujian getir susulan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara.
Safee menegaskan, apa yang diperlukan ketika ini ialah bersatu dan sokongan padu daripada penyokong tanah air, bukan kecaman yang hanya merendahkan maruah negara di mata dunia.
“FIFA baru keluar kenyataan sikit, dah ramai yang melatah kecam negara sendiri. Macam tak sabar nak tunggu fakta penuh.
“Orang dituduh bunuh pun masih diberi peguam bela dan peluang untuk pertahankan diri. Ini belum tentu salah, tapi ramai dah siap jadi hakim dan juri,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Bekas penyerang kebangsaan itu mengingatkan semua pihak supaya menilai isu ini secara rasional dan tidak membiarkan emosi menguasai pandangan.
Katanya, tindakan terburu-buru hanya akan menambahkan kekeliruan serta menjejaskan keyakinan terhadap skuad negara.
“Bila negara kita dituduh, sepatutnya kita bersatu hati, bukan saling tuduh-menuduh. Berdiri teguh dulu, baru nilai dengan akal, bukan emosi,” tegas Safee. – UTUSAN










