KYIV: Ukraine pada mendakwa Russia melancarkan serangan besar-besaran dengan ratusan dron dan peluru berpandu sepanjang malam, mencederakan sekurang-kurangnya 10 orang, manakala negara jiran Poland mengerahkan jet pejuangnya bagi memastikan keselamatan ruang udara.
Serangan ini berlaku selepas Russia memberi amaran kepada NATO supaya tidak mengambil tindakan lebih tegas berhubung dakwaan pencerobohan ke dalam ruang udara yang dilindungi oleh pakatan ketenteraan itu.
Ia juga berlaku selepas Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mendedahkan Kyiv telah menerima sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat (AS) daripada Israel untuk digunakan bagi menghadapi serangan Russia.
“Russia sekali lagi melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas bandar-bandar Ukraine ketika orang ramai sedang tidur.
“Sekali lagi, ratusan dron dan peluru berpandu, memusnahkan bangunan kediaman dan menyebabkan korban dalam kalangan orang awam,” kata Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiga di platform X.
Beliau turut memuat naik rakaman api menyambar keluar dari tingkap bangunan pangsapuri bertingkat, yang menurutnya berpunca daripada serangan tersebut.
Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, berkata di Telegram ibu negara Ukraine berada di bawah serangan besar-besaran dan menggesa penduduk supaya berlindung di tempat perlindungan.
Beliau berkata sekurang-kurangnya enam orang cedera, lima daripadanya dirawat di hospital dan seorang lagi di tempat kejadian.
Gabenor wilayah tenggara Zaporizhzhia pula memaklumkan serangan Russia di wilayah itu mencederakan sekurang-kurangnya empat orang.
Ketua pejabat presiden Ukraine, Andriy Yermak, menuduh Moscow melancarkan perang terhadap orang awam.
Angkatan tentera Poland berkata mereka mengerahkan jet pejuang ke ruang udara dan meletakkan sistem pertahanan udara darat dalam keadaan berjaga-jaga berikutan serangan Russia di Ukraine.









