Petisyen bantah kad pengenalan digital UK cecah sejuta tanda tangan - Utusan Malaysia

Petisyen bantah kad pengenalan digital UK cecah sejuta tanda tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lebih sejuta orang menandatangani petisyen membantah rancangan memperkenalkan kad pengenalan digital baharu di United Kingdom (UK) dengan tinjauan Daily Mail mendapati hanya suku rakyat menyokong cadangan itu.

Perdana Menteri Britain Keir Starmer menyifatkan kad digital yang disimpan dalam telefon mudah alih sebagai peluang besar untuk UK serta mampu menyukarkan pendatang tanpa izin bekerja.

Di bawah pelan tersebut, kad pengenalan digital akan diwajibkan sebagai bukti hak untuk bekerja, namun orang ramai tidak perlu membawa atau menunjukkannya.

Kad ini dijangka tersedia untuk warganegara dan penduduk sah UK menjelang akhir penggal Parlimen ini.

Bagaimanapun, kumpulan kebebasan sivil mengecam cadangan itu sebagai mewujudkan masyarakat wajib tunjukkan dokumen pengenalan diri yang disifatkan tidak beridentiti British sambil memberi amaran warga emas berisiko ‘terkeluar’ daripada perkhidmatan penting.

Setakat ini, ratusan ribu orang telah menandatangani petisyen bertajuk ‘Do Not Introduce Digital ID Cards’ yang dimulakan oleh Maxim Sutcliff pada Jun lalu.

Petisyen itu menuntut kerajaan UK segera berikrar untuk tidak memperkenalkan kad pengenalan digital sambil menegaskan rancangan sedemikian langkah ke arah pengawasan massa dan kawalan digital serta menolak sebarang sistem pengenalan kebangsaan.

Menurut peraturan Parlimen UK, semua petisyen yang melepasi 100,000 tandatangan akan dipertimbangkan untuk dibahaskan, manakala kerajaan perlu memberi respons bagi petisyen yang mencapai 10,000 tandatangan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×