Penempatan manusia tertua di Semenanjung Arab ditemukan di Tabuk

Penempatan manusia tertua di Semenanjung Arab ditemukan di Tabuk

PENEMPATAN tertua di Semenanjung Arab dipercayai wujud sejak zaman Neolitik ditemukan ahli arkeologi berhampiran Tabuk di Arab Saudi.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Kementerian Kebudayaan Arab Saudi mengumumkan penemuan seni bina penempatan tertua di Semenanjung Arab, yang dipercayai wujud sejak zaman Neolitik kira-kira 10,300 hingga 11,000 tahun lalu, berhampiran Tabuk.

Ketua Pengarah Bahagian Antikuiti Suruhanjaya Warisan, Dr. Ajab Al-Otaibi menyifatkan penemuan itu sebagai antara penempatan manusia tertua di dunia.

Kerja-kerja penggalian arkeologi di tapak Masiyon, barat laut Tabuk dijalankan oleh Suruhanjaya Warisan dengan kerjasama Universiti Kanazawa, Jepun, serta projek Neom.

Walaupun kawasan itu disenaraikan dalam Daftar Antikuiti Kebangsaan sejak 1978, kajian pada Disember 2022 membuktikan ia sebagai contoh penempatan manusia terawal yang diketahui di Semenanjung Arab.

Empat musim penggalian arkeologi dijalankan sehingga Mei 2024 dengan menggunakan kaedah moden seperti pendokumentasian lapisan stratigrafi, pengelasan artifak, serta analisis sampel organik bagi menentukan tarikh mutlak.

Struktur granit berbentuk separa bulatan turut ditemui, termasuk bangunan kediaman, laluan, tempat perapian dan kawasan simpanan yang menunjukkan susun atur berfungsi untuk menyokong aktiviti memburu serta penanaman bijirin awal.

Antara artifak lain yang ditemui ialah alatan batu seperti batu pengisar, pisau dan mata anak panah, selain objek hiasan, seramik, peralatan pertanian, sarang lebah, rangka manusia dan haiwan serta batu-batu berukir corak geometri.

Suruhanjaya itu menyifatkan penemuan ini sebagai mercu tanda penting dalam memahami asal-usul penempatan manusia di barat laut Arab Saudi dan sejarah lebih luas kerajaan itu.

Menurut Ajab, penemuan berkenaan menonjolkan peranan penting Semenanjung Arab dalam kemunculan tamadun manusia.

Ia juga menyokong teori kawasan barat laut merupakan lanjutan semula jadi kepada Mesopotamia, Levant dan Anatolia Selatan yang dikenali sebagai Bulan Sabit Subur serta menjadi lokasi awal peralihan manusia daripada kehidupan nomad kepada penempatan tetap.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×