12 negara tubuh pakatan bantu kewangan Pihak Berkuasa Palestin

12 negara tubuh pakatan bantu kewangan Pihak Berkuasa Palestin

SEORANG lelaki berjalan di bawah pintu gerbang bangunan Majlis Perundangan Pihak Berkuasa Palestin yang kini menempatkan kem pelarian sementara di Gaza City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Sebanyak 12 negara termasuk Britain, Perancis, Jepun, Arab Saudi dan Sepanyol mengumumkan penubuhan pakatan baharu bagi menyokong kewangan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berdepan krisis kewangan serius selepas Israel menahan hasil cukainya.

Kementerian Luar Sepanyol dalam kenyataan berkata, Pakatan Kecemasan bagi Kelestarian Kewangan Pihak Berkuasa Palestin dibentuk bagi menangani krisis kewangan mendesak dan belum pernah berlaku yang dihadapi PA.

Pakatan itu bertujuan menstabilkan kewangan PA yang berpusat di Ramallah, memastikan keupayaannya mentadbir, menyediakan perkhidmatan asas serta mengekalkan keselamatan yang dianggap penting untuk kestabilan rantau dan kelangsungan penyelesaian dua negara.

Selain lima negara utama, pakatan ini turut disertai Belgium, Denmark, Iceland, Ireland, Norway, Slovenia dan Switzerland. 

Walaupun jumlah sumbangan tidak dinyatakan, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa berkata, penderma menjanjikan sekurang-kurangnya AS$170 juta (RM717 juta), termasuk AS$90 juta (RM380 juta) daripada Arab Saudi.

Menurut kenyataan itu, negara-negara terbabit akan bekerjasama dengan institusi kewangan antarabangsa untuk menggerakkan lebih banyak sumber, menyokong pembaharuan tadbir urus serta memastikan ketelusan dan akauntabiliti penuh.

Israel mengutip hasil cukai bagi pihak PA di bawah Protokol Paris 1994, namun sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, Israel menahan bayaran tersebut, mengakibatkan perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan semakin merosot, sementara kadar kemiskinan melonjak.

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich daripada blok sayap kanan menghentikan semua pembayaran kepada PA sejak empat bulan lalu dan secara terbuka menyatakan mahu menggagalkan kerajaan Palestin melalui ‘cekikan ekonomi’ bagi menghalang pembentukan negara Palestin.

Dalam pada itu, bekas perdana menteri Britain, Tony Blair dilaporkan bakal  dilantik mengetuai badan peralihan Gaza di bawah pelan damai diketuai Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu susulan penglibatan Blair dalam rundingan dengan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dan pihak lain mengenai struktur pasca perang di wilayah Palestin tersebut.

Menurut BBC dan The Economist, pelan itu boleh menyaksikan Blair mengetuai badan berkenaan dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara Teluk sementara Financial Times pula melaporkan Blair meminta untuk berada dalam lembaga penyelianya.

Badan yang digelar Pihak Berkuasa Peralihan Antarabangsa Gaza itu dilaporkan akan memohon mandat PBB bagi menjadi pihak berkuasa politik dan perundangan tertinggi selama lima tahun sebelum menyerahkan kuasa kembali kepada rakyat Palestin.

Ia dijangka mempunyai sekretariat sehingga 25 orang serta lembaga tujuh anggota, dan beroperasi sementara dari Mesir sebelum berpindah ke Gaza apabila keadaan lebih stabil.

Sumber rapat Blair menegaskan beliau tidak akan menyokong sebarang cadangan untuk mengusir penduduk Gaza secara kekal, malah kuasa pemerintahan akhirnya akan dikembalikan kepada PA yang berpusat di Ramallah, Tebing Barat.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×