LONDON: Bekas perdana menteri Britain, Tony Blair dilaporkan bakal mengambil peranan utama dalam sebuah badan peralihan antarabangsa untuk Gaza di bawah rancangan damai yang diterajui Amerika Syarikat (AS), menurut beberapa laporan media pada Jumaat.
Perkara itu susulan penglibatan Blair dalam rundingan dengan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dan pihak lain mengenai struktur pasca perang di wilayah Palestin tersebut.
Menurut BBC dan The Economist, pelan itu bakal menyaksikan Blair mengetuai badan berkenaan dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara Teluk sementara Financial Times pula melaporkan beliau meminta untuk berada dalam lembaga penyelianya.
Badan yang digelar Pihak Berkuasa Peralihan Antarabangsa Gaza itu dilaporkan akan memohon mandat PBB bagi menjadi pihak berkuasa politik dan perundangan tertinggi selama lima tahun sebelum menyerahkan kuasa kembali kepada rakyat Palestin.
Ia dijangka mempunyai sekretariat sehingga 25 orang serta lembaga tujuh anggota dan beroperasi sementara dari Mesir sebelum berpindah ke Gaza apabila keadaan lebih stabil.
Sumber rapat Blair menegaskan beliau tidak akan menyokong sebarang cadangan untuk mengusir penduduk Gaza secara kekal, malah kuasa pemerintahan akhirnya akan dikembalikan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpusat di Ramallah, Tebing Barat.
Bekas ketua Mossad, Yossi Cohen menyambut baik idea itu dalam temu bual dengan BBC, menyifatkan Blair sebagai seorang yang hebat dan berupaya memikul tanggungjawab besar tersebut.
“Jika beliau sanggup memikul tanggungjawab besar ini, saya rasa masih ada harapan untuk Gaza. Saya percaya beliau mampu menanggung beban itu dengan baik,” katanya.
Bagaimanapun, penglibatan Blair pasti menimbulkan kritikan memandangkan peranannya dalam pencerobohan Iraq pada 2003 bersama AS, yang kemudian didapati berpandukan maklumat risikan yang lemah.
Media Israel sebelum ini melaporkan Blair turut menyertai mesyuarat Rumah Putih bersama Trump pada Ogos lalu bagi membincangkan pelan pasca perang Gaza.
Trump sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi dengan mencadangkan Gaza dijadikan Riviera Asia Barat termasuk melibatkan pemindahan paksa penduduk Palestin.-AFP











