Mahkamah Agung AS benarkan Trump beku dana bantuan luar

Mahkamah Agung AS benarkan Trump beku dana bantuan luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) sekali lagi memihak kepada Presiden, Donald Trump apabila membenarkan beliau membekukan dana bantuan luar bernilai AS$4 bilion (RM16.88 bilion) daripada disalurkan kepada negara yang memerlukan.

Keputusan pada Jumaat membatalkan arahan mahkamah rendah sebelum ini, sekali gus menjadi kemenangan terbaharu buat pentadbiran Trump dalam usahanya menyusun semula pemberian dana bantuan kemanusiaan dan program antarabangsa oleh Washington.

Dana tersebut sebelum ini diluluskan oleh Kongres, termasuk untuk operasi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta usaha mempromosikan demokrasi di luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, Trump bertindak membekukan peruntukan itu menerusi langkah dikenali sebagai pocket rescission, iaitu dengan membiarkan tempoh sah kelulusan tamat pada 30 September tanpa dibelanjakan.

Hakim Daerah AS, Amir Ali, sebelum ini mengarahkan dana berkenaan disalurkan sebelum tamat tarikh berkenaan, sambil memberi amaran langkah Trump menimbulkan ancaman serius terhadap prinsip pengasingan kuasa.

Namun Mahkamah Agung, yang kini dikuasai majoriti konservatif 6-3, memutuskan Presiden mempunyai kuasa luas dalam menentukan dasar bantuan luar negara.

Pentadbiran Trump sebelum ini berhujah menyalurkan dana berkenaan akan bercanggah dengan dasar luar AS.

Trump sememangnya berusaha mengurangkan peranan AS dalam badan antarabangsa, termasuk memotong peruntukan kepada PBB serta mengecilkan agensi bantuan, USAID.

Pentadbiran beliau menyifatkan pemotongan tersebut sebagai langkah mengawal perbelanjaan, dengan memberi keutamaan kepada penguatkuasaan imigresen domestik.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa pemotongan tersebut melemahkan pengaruh diplomatik Washington dan boleh menjejaskan kepentingan jangka panjang AS. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×