Kaum Melayu bukan homogen

Kaum Melayu bukan homogen

KEPELBAGAIAN bangsa Melayu tidak mengurangkan pengiktirafan mereka sebagai Melayu di sisi Perlembagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA  kita menyebut bangsa Melayu, ramai yang membayangkan satu identiti tunggal. Tetapi sesungguhnya, bangsa Melayu di Malaysia adalah umpama sehelai kain tenunan daripada pelbagai benang, misalnya Jawa, Bugis, Minangkabau, Boyan, Mandailing, Banjar, Kerinci, Batak, Sunda, Madura, Aceh dan Ambon.

Masing-masing memiliki bahasa dan budaya yang khusus, unik dan tersendiri.

Malah, terdapat juga identiti unik kumpulan yang dikenali sebagai Melayu Cape, Melayu Cocos, Melayu Brunei, Melayu Johor, Melayu Kedah, Melayu Kelantan, Melayu Pahang dan Melayu Pattani.

Dari segi sejarah, identiti kaum atau bangsa Melayu yang menjadi amalan sehingga sekarang diperkenalkan penjajah Inggeris untuk memudahkan urusan pentadbiran mereka.

Dalam bancian penduduk pada 1891, kumpulan etnik Melayu, Boyan, Aceh, Jawa, Bugis, Siam dan sebagainya dilonggokkan di bawah satu sahaja kategori iaitu ‘Melayu’.

Lama-kelamaan, kita menjadi selesa dengan kategori tunggal iaitu Melayu.

Sebagaimana saya nyatakan dalam buku Suvarna Bhumi (2022), generasi baharu  orang Melayu dikhuatiri akan lupa tentang identiti, jati diri, bahasa dan budaya unik yang mewakili keturunan nenek moyang.

Apabila mengendalikan bengkel penulisan makalah budaya, saya sering menasihati peserta supaya tidak menulis secara umum tentang budaya kaum Melayu, Cina atau India. Sebaliknya, tulis secara lebih khusus tentang keturunan masing-masing, misalnya Tamil, Telugu atau Malayali bagi kaum India, serta keturunan Hakka, Teochew atau Hokkien bagi kaum Cina.

Kekeliruan dalam membezakan antara kategori keturunan, kaum, ras dan bangsa sudah saya huraikan secara terperinci dalam buku Malaiur Manikam (2015). Perbincangan dalam rencana ini bukan tentang kategori besar kaum dan bangsa Melayu, sebaliknya tentang pelbagai kategori keturunan, suku, marga dan etnik yang ada identiti budaya tersendiri.

Orang Minangkabau paling dikenali menerusi adat matrilineal dan adat perpatih yang turut menjadi identiti Negeri Sembilan. Nenek moyang komuniti ini berasal dari Pagaruyung, Sumatera. 

Walaupun hak milik hartanah tidak lagi mengikut nasab ibu, pelbagai identiti budaya dan adat tetap dipertahan.

Begitulah juga keturunan Boyan yang berasal dari pulau Bawean, Banjar dari Kalimantan, Mandailing dari Sumatera Utara dan Kerinci dari Jambi. Walaupun kesemuanya dikategori sebagai Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, masing-masing memiliki bahasa ibunda, muzik, makanan dan pakaian tradisi tersendiri.

Orang Sunda dari Pulau Jawa dan Madura dari Jawa Timur mungkin kurang dikenali berbanding keturunan Jawa yang datang ke Tanah Melayu dalam beberapa gelombang migrasi sejak era Srivijaya dan Majapahit. Perihal kedatangan orang Jawa sebagai tenaga buruh mulai 1880 dihurai menerusi rencana di ruangan ini pada 25 November 2023.

Kita perlu berbangga kerana orang Jawa, khususnya di Johor, Perak dan Selangor masih mengekalkan identiti dan jati diri walaupun sudah berasimilasi dan dikenali secara umum sebagai orang Melayu dalam dokumen rasmi. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sentiasa berbangga dalam mengakui darah Jawa yang mengalir dalam tubuh mereka.

Keturunan Bugis pula asalnya dari Sulawesi serta terkenal sebagai pelaut, pedagang dan penyokong politik pada era Kesultanan Johor dan Riau.

Sebagaimana kita maklum, Tun Abdul Razak Hussein dan Datuk Seri Najib Tun Razak berdarah Bugis.

Tidak dinafikan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Melayu ialah orang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu. Maka, orang Jawa, Bugis, Banjar dan sebagainya. Mereka memenuhi syarat itu diiktiraf sebagai Melayu sepenuhnya.

 

KEPELBAGAIAN RAS

 

Walaupun kita sering melihat orang Melayu di Malaysia sebagai satu bangsa yang homogen, sebenarnya sebagaimana kaum India, Cina, Orang Asli serta bumiputera Sabah dan Sarawak, kaum Melayu juga ada kepelbagaian ras yang wajar diraikan.

Sesungguhnya memang ada kesedaran dalam kalangan orang Jawa, Bugis, Minangkabau dan sebagainya di Malaysia untuk mempertahankan identiti, budaya dan jati diri yang diwarisi turun-temurun. Perkara ini nyata apabila saya melakukan carian di portal rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Antara pertubuhan dalam kategori keturunan, kebudayaan dan kebajikan yang masih aktif ialah Pertubuhan Kekeluargaan Bugis di Selangor, Persatuan Komuniti Bugis Sabah, Persatuan Bugis Negeri Johor, Persatuan Bugis Sarawak, Persatuan Melayu Bugis Serumpun, Persatuan Bugis Malaysia dan Persekutuan Melayu Bugis Semalaysia.

Terdapat juga pertubuhan berdaftar seperti Persatuan Jaringan Masyarakat Minangkabau Malaysia, Persatuan Minangkabau Pulau Mutiara, Pertubuhan Minangkabau Tanah Datar Negeri Selangor dan Persatuan Suku Sri Lemak Minangkabau Tobek Godang Kampung Sikai di Negeri Sembilan.

Saya tidak tahu apakah aktiviti yang dijalankan oleh kesemua persatuan ini tetapi tentu sahaja antara matlamat ialah mengekalkan identiti, jati diri, adat, bahasa dan budaya keturunan masing-masing.

Dalam carian secara dalam talian, turut ditemui Persatuan Kebudayaan Kesenian Warisan Boyan di Kuching, Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia yang ada sepuluh cawangan, Persatuan Halak Mandailing Malaysia, Persatuan Warisan Mandailing dan Jaringan Mandailing Saroha.

Turut aktif ialah Pertubuhan Etnik Keturunan Banjar Sabah, Pertubuhan Keturunan Banjar Perak, Pertubuhan Banjar Malaysia, Persatuan Anak Banjar Malaysia dan Kelab Kulaan Banjar Sungai Besar di Selangor.

Senarai kesemua persatuan ini yang masih aktif membuatkan saya menarik nafas lega kerana masing-masing kelompok ras dan keturunan terbabit tidak hanya hidup selesa di bawah label umum Melayu tetapi tetap mengakui, menghargai serta menghayati identiti asal.

Kehadiran Persatuan Keturunan Kerinci Seleman Malaysia, Persatuan Keluarga Kerinci Nusantara Selangor, Persatuan Saudara Serumpun Kerinci Selangor, Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Keturunan Batak Sabah, Persatuan Permuafakatan Masyarakat Madura Malaysia dan Persatuan Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia (IMAM) juga menjadi bukti.

Sejarah dan latar belakang setiap keturunan ini ada makna tersendiri dalam perkembangan politik, nilai dan identiti bangsa Malaysia pada hari ini. 

Mengakui dan mengiktiraf keturunan asal tidak menjadikan seseorang ‘kurang Melayu’. Sebaliknya, menjadikannya lebih kaya dengan sejarah, budaya, identiti dan jati diri.-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×