Nilai semula pendidikan tinggi negara

Nilai semula pendidikan tinggi negara

LANDSKAP dunia pendidikan tinggi berubah dengan cabaran digital, keperluan transdisiplin dan tuntutan komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBAHASAN tentang kualiti pendidikan tinggi semakin lantang. Ada yang mengeluh graduan tidak memenuhi kehendak industri. Ada yang menegur mahasiswa kurang menyumbang kepada masyarakat dan tidak kurang juga yang mempertikaikan penyelidikan berbilion ringgit yang tidak sampai kepada rakyat.

Anehnya, semua ini berlaku meskipun universiti diselubungi pelbagai lapisan piawaian kualiti audit dalaman dan luaran, laporan tahunan, hingga ke sijil ISO yang digantung megah di dinding.

Persoalan asas pun timbul iaitu jika sistem kualiti sebegini rapi, mengapa hasilnya tetap longgar? Mungkinkah yang keliru bukan pada pelaksanaannya, tetapi pada definisi kualiti itu sendiri?

Memuatkan artikel berkaitan…

Universiti moden bermula di Bologna, Paris dan Oxford abad ke-12 sebagai pusat ilmu dan pencarian kebenaran. Tiada juruaudit, tiada manual kualiti, tiada senarai semak pematuhan.

Audit hanya muncul pada abad ke-20, selepas pendidikan tinggi diperdagangkan sebagai komoditi global.

Sejak itu, universiti diibaratkan sebagai kilang dengan graduan sebagai output, penyelidikan sebagai hasil kerja dan kualiti sebagai pematuhan.

Sedangkan tokoh kualiti dunia, W. Edwards Deming sudah mengingatkan kualiti hakiki ialah penambahbaikan berterusan, membina kapasiti dan mengurangkan variasi demi memberi nilai sebenar.

Ini amat selaras dengan konsep itqan dalam Islam yang bermaksud menghasilkan sesuatu dengan tekun, teliti dan sempurna sehingga mencapai maksud sebenar.

Amalan ISO di universiti Malaysia bermula sekitar 1990-an, seiring dengan trend global ketika itu. Ia dipromosikan sebagai bukti profesionalisme dan tadbir urus yang sistematik.

Universiti berlumba-lumba untuk memperoleh sijil ISO 9001 dalam pengurusan akademik, pentadbiran, malah ada yang cuba meluaskan kepada proses pembelajaran.

Pada awalnya, ISO dilihat sebagai bentuk disiplin untuk membiasakan universiti dengan rekod, dokumentasi dan proses yang lebih teratur. Namun, apabila semakan kualiti menjadi rutin tahunan, ia beransur menjadi ritual.

Kualiti tidak lagi bermaksud memperbaiki sistem akademik tetapi sekadar memastikan dokumen lengkap ketika juruaudit hadir.

Pada 2000-an, universiti mula disibukkan pula dengan penarafan kebangsaan dan antarabangsa seperti Quacquarelli Symonds (QS), Times Higher Education (THE), Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) dan Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi (SETARA).

ISO kekal bertahan tetapi bukan lagi sebagai teras penambahbaikan. Ia sekadar lapisan tambahan, dipenuhi untuk melengkapkan syarat audit. Walaupun landskap dunia pendidikan tinggi jauh berubah dengan cabaran digital, keperluan transdisiplin dan tuntutan komuniti malangnya amalan ISO di universiti Malaysia hampir tidak berganjak.

Hari ini, setelah lebih dua dekad, ISO di universiti kelihatan statik, ibarat mesin lama yang terus dikayuh walaupun enjin pendidikan tinggi sudah berubah.

Prosesnya semakin jauh daripada tujuan asal. Ia tidak menilai makna ilmu, tidak menangkap keresahan masyarakat, malah gagal membaca fenomena kontemporari seperti lambakan pelajar antarabangsa, pengangguran graduan atau kerapuhan integrasi sosial di kampus.

UNIVERSITI JADI KILANG, PELAJAR JADI KOMODITI

Fenomena kemasukan besar-besaran pelajar dari China menjadi contoh jelas. Lebih 40,000 pelajar dari China kini berada di Malaysia, hampir 40 peratus daripada keseluruhan pelajar antarabangsa.

Angka ini menimbulkan pertanyaan serius iaitu sejauh mana universiti kita mampu menampung mereka tanpa menjejaskan kualiti? Bagaimana dengan penguasaan bahasa, integrasi sosial dan keseimbangan peluang dengan pelajar tempatan?

Audit kualiti yang kononnya teliti tidak pernah menangkap persoalan ini. Ia hanya memeriksa borang kemasukan, syarat minima dan rekod pematuhan. Sedangkan realiti jauh lebih kompleks.

Pengalaman universiti Asia lain membuktikan kecemerlangan tidak bergantung pada ritual audit.

University of Tokyo dan Kyoto University menekankan budaya akademik yang hidup, bukan sijil ISO.

National University of Singapore (NUS) melonjak ke tahap global kerana berpegang pada strategi negara antara lain menghasilkan graduan untuk ekonomi baharu, menghubungkan penyelidikan dengan dasar awam.

Di Korea, Seoul National University dan KAIST menjadi nadi pembangunan industri bukan kerana sibuk dengan prosedur ISO tetapi kerana membina ekosistem inovasi.

Begitu juga Tsinghua dan Peking University di China, yang menjadikan universiti sebagai instrumen kebangkitan bangsa.

Mereka tidak menolak pengurusan yang teratur tetapi tidaklah sehingga menggadaikan falsafah ilmu kepada ritual pematuhan. Kualiti dinilai melalui impak, bukan semata dokumen.

Dalam konteks pendidikan tinggi, ISO seharusnya menyokong pencapaian matlamat universiti, bukan terhad kepada pengurusan dokumen. Universiti bukan kilang sebaliknya medan ilmu yang menuntut kesegaran idea, keberanian intelektual dan pembinaan insan.

Di sinilah peranan juruaudit menjadi sangat besar. Mereka tidak boleh hanya menjadi pakar dalam proses pematuhan tetapi mesti arif dalam dunia pendidikan. Jika tidak, mereka hanya akan meneliti perkara kecil dalam rutin pentadbiran tanpa memahami roh pendidikan itu sendiri.

Lebih penting, mereka mesti mengikuti perkembangan semasa. Misalnya bagaimana Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kini menekankan pendidikan berasaskan nilai.

Tambahan pula, zaman sudah berubah. Audit tidak lagi boleh berpaksikan falsafah lama, ‘dokumenkan kerja anda, ikut dokumen yang anda buat’.

ISO mesti dilihat sebagai proses sokongan untuk membantu universiti mencapai visi dan misinya.

ISO itu sendiri bukanlah matlamat tetapi instrumen untuk menghidupkan budaya penambahbaikan. Dan yang paling kritikal, ISO sebagai audit proses harus membentuk budaya kualiti yang hidup sehingga ia menjadi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) universiti serta terjelma dalam sikap pensyarah, keberanian pelajar dan integriti penyelidikan.

Universiti perlu jujur menilai semula amalan ISO yang diwarisi sejak 30 tahun lalu. Ia tidak lagi boleh dianggap sebagai lambang kualiti jika hanya berfungsi sebagai ritual dokumentasi.

Tema Hari Kualiti Dunia 2024 memberi isyarat jelas. ‘Daripada Pematuhan kepada Prestasi’. Inilah inti pati budaya kualiti yang sebenar. Kualiti universiti tidak boleh berhenti pada pematuhan prosedur tetapi mesti diterjemah sebagai prestasi nyata dengan lahirnya graduan kritis dan berakhlak, penyelidikan yang menjawab keperluan rakyat serta keberanian ilmuwan menegakkan kebenaran.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah pensyarah di Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (Pendapat).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini