MOSCOW: Sebuah syarikat teknologi Russia, Neiry, menjadi pelopor dunia apabila menguji implan neuro ke dalam otak lembu bagi meningkatkan pengeluaran susu selepas semua kaedah konvensional tidak lagi berkesan.
Neiry mula mengumumkan rancangan ujian ke atas lembu hidup pada April lalu, dan bulan lepas pakar mereka melakukan pembedahan ke atas lima ekor lembu di wilayah Sverdlovsk.
Peranti yang dipasang terdiri daripada stimulator di bahagian belakang kepala dengan elektrod yang menembusi jauh ke dalam otak untuk merangsang bahagian berkaitan selera makan, tekanan dan fungsi reproduktif melalui denyutan elektrik.
Menurut pelabur Neiry, Alexey Mariza, banyak ladang tenusu telah menggunakan segala kaedah sedia ada untuk meningkatkan hasil susu, maka pendekatan radikal seperti rangsangan otak melalui implan neuro berpotensi mengubah landskap industri tenusu dan memberi kelebihan kompetitif.
Agensi berita Ria Novosti melaporkan lembu-lembu tersebut sedar sepanjang prosedur, selamat menjalani pembedahan tanpa kesan sampingan ketara dan kembali ke kitaran pengeluaran.
Walaupun data rasmi belum dikeluarkan, Neiry mendakwa hasil susu menunjukkan peningkatan.
Saintis kini meneliti program
rangsangan terbaik bergantung pada bahagian otak yang disasarkan.
Sebagai contoh, jika selera makan lembu menurun, sistem boleh memilih mod rangsangan neuromodulasi yang sesuai untuk memulihkannya.
Neiry mengakui peranti itu masih perlu dipertingkat, namun yakin implan neuro tersebut sudah cukup berkesan untuk dipasarkan secara komersial dalam masa terdekat. -AGENSI










