PARIS: Mahkamah Paris semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy selepas didapati bersalah bersekongkol secara jenayah dalam skim pembiayaan kempen pilihan raya 2007 menggunakan dana dari Libya.
Keputusan bersejarah itu menjadikan Sarkozy, 70, sebagai bekas presiden pertama Perancis moden yang dijatuhi hukuman penjara.
Walaupun beliau berhasrat untuk merayu, mahkamah menetapkan hukuman tetap perlu dilaksanakan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Mahkamah mendapati Sarkozy bersalah melakukan konspirasi jenayah ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri antara 2005 hingga 2007, dengan tujuan mendapatkan dana Libya sebagai balasan terhadap beberapa layanan diplomatik.
Bagaimanapun, beliau dibebaskan daripada tiga pertuduhan lain termasuk rasuah pasif, pembiayaan kempen haram serta menyembunyikan penyelewengan dana awam.
Sarkozy mengecam keputusan itu sebagai satu penghinaan terhadap Perancis.
“Jika mereka mahu saya tidur di penjara, saya akan tidur di penjara. Tetapi dengan kepala terangkat. Saya tidak bersalah. Ketidakadilan ini adalah satu skandal,” katanya sambil ditemani isterinya, penyanyi dan model terkenal, Carla Bruni-Sarkozy.
Ketua hakim, Nathalie Gavarino ketika menjatuhkan hukuman menyatakan konspirasi itu bertujuan memberi kelebihan kepada Sarkozy dalam pilihan raya serta mempersiapkan tindakan rasuah pada tahap tertinggi sekiranya beliau dipilih sebagai Presiden Perancis.
Hakim turut menegaskan kes tersebut amat serius serta berupaya menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi awam.
Mahkamah juga turut mendapati dua bekas menteri yang rapat dengan Sarkozy, Claude Guéant dan Brice Hortefeux bersalah atas tuduhan sama.
Hortefeux dijatuhi hukuman penjara dua tahun tetapi dibenarkan menjalani hukuman di luar penjara dengan pemantauan elektronik, manakala Guéant dijatuhi enam tahun penjara tetapi tidak ditahan segera atas faktor kesihatan.
Kedua-duanya didapati pernah mengadakan pertemuan rahsia dengan bekas Ketua Perisikan Libya, Abdullah Al-Senoussi pada 2005, yang juga merupakan ipar bekas pemimpin Libya, Muammar Qaddafi.
Mahkamah menyifatkan pertemuan itu sebagai pakatan rasuah melibatkan janji pelaburan tenaga nuklear di Libya serta usaha Perancis mengembalikan reputasi negara itu di pentas antarabangsa.
Sarkozy, yang memenangi pilihan raya 2007 tetapi kalah pada 2012, menafikan segala tuduhan sepanjang perbicaraan tiga bulan awal tahun ini.
Sarkozy sebelum ini sudah beberapa kali berdepan kes rasuah dan salah laku politik di mana pada tahun lalu beliau disabitkan kesalahan pembiayaan haram kempen 2012 dan dijatuhi hukuman penjara setahun, manakala pada 2021, beliau didapati bersalah kerana cuba merasuah seorang hakim.
Beliau juga dilucutkan pingat Legion of Honor, anugerah tertinggi Perancis, selepas sabitan salah satu kes berkenaan. -AGENSI










