GAZA: Beberapa hospital dan klinik yang masih beroperasi di bahagian tengah serta selatan Gaza semakin terbeban untuk menampung ribuan penduduk yang cedera dan kebuluran akibat serangan baharu Israel di utara wilayah.
Kakitangan Kompleks Perubatan Nasser, di bandar Khan Younis serta hospital di al-Mawasi berhampiran zon pantai yang digelar kawasan kemanusiaan, bergelut untuk menangani lambakan pesakit baharu yang diusir dari Gaza City.
Pakar Bedah Trauma di Barts NHS Trust London, Dr. Martin Griffiths berkata, kekurangan kenderaan dan jalan sesak memaksa ramai pesakit berjalan kaki, menyebabkan sebahagian mereka tiba dengan luka yang sudah lebih seminggu tidak dirawat.
“Kami sedang berdepan ‘tsunami’ pesakit di sini. Semakin ramai orang tiba setiap hari dari utara dengan kecederaan letupan dan tembakan, luka lama yang kotor dan dijangkiti.
“Kalau ada kenderaan pun, perjalanan mengambil masa sehari dua. Jika peluru atau bom tidak membunuh mereka, jangkitan kuman pada luka-luka ini yang akan meragut nyawa.
“Kami kini di tahap paling maksimum sementara semua kakitangan keletihan dan bekalan penting semakin habis,” katanya yang tiba sebagai sukarelawan di Gaza dua minggu lalu.
Griffiths berkata, jabatan kecemasan di hospital lapangan tempat beliau bertugas hanya mempunyai 90 katil tetapi menerima lebih 160 pesakit cedera dalam satu malam, manakala 600 orang pula mendapatkan rawatan di klinik penjagaan primer kecilnya.
Menurut angka terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 320,000 orang mematuhi arahan pemindahan tentera Israel dan melarikan diri dari Gaza City tetapi kebanyakannya sakit, cedera atau mengalami kekurangan zat.
Krisis semakin parah selepas beberapa fasiliti perubatan di utara Gaza terpaksa ditutup sejak beberapa hari lalu, berikutan serangan Israel yang semakin intensif dengan wad pediatrik yang masih berfungsi menerima pesakit baharu di koridor kerana semua katil penuh.
Menerusi mesej peribadi yang dilihat portal The Guardian, tentera Israel memberitahu pekerja bantuan, hanya hospital akan dianggap sebagai kawasan dilindungi manakala semua tapak kemanusiaan lain di Gaza City perlu mengosongkan kawasan.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Munir al-Bursh berkata, hospital lapangan Jordan di kawasan Tal al-Hawa di barat daya Gaza yang menempatkan sekurang-kurangnya 300 pesakit serta kakitangan perubatan turut diarah berpindah apabila tentera semakin menghampiri fasiliti berkenaan.
Petugas perubatan di Gaza City berkata, Hospital al-Rantisi masih beroperasi sebahagiannya sebagai pusat rawatan kecemasan yang dikendalikan dua jururawat dan seorang doktor, tetapi bedilan dan tembakan berterusan menjadikan ia hampir mustahil diakses orang awam.









