Rakyat Gaza terpaksa tunggu hingga enam hari untuk dapat air bersih

Rakyat Gaza terpaksa tunggu hingga enam hari untuk dapat air bersih

PENDUDUK Palestin beratur untuk mendapatkan bekalan air minuman di bawah terik matahari di kawasan Al-Mawasi di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Hampir sejuta penduduk Palestin yang dipindahkan ke kawasan yang ditetapkan Israel sebagai ‘zon selamat’ di selatan Gaza kini berdepan krisis air yang serius, dengan kanak-kanak dilaporkan jatuh sakit akibat kekurangan air bersih.

Penduduk yang berlindung di kawasan pesisir al-Mawasi berhampiran Khan Younis berkata, mereka sering menunggu sehingga lima atau enam hari untuk trak agihan air tiba, dan ada kalanya terpaksa melalui hari tanpa setitik air pun.

“Kami berkongsi apa yang sedikit diterima, tetapi ia tidak pernah mencukupi. Anak-anak kehausan, jatuh sakit dan pakaian kami juga tidak dapat dibasuh kerana ketiadaan air,” kata seorang penghuni di Kem Najat yang menempatkan lebih 1,200 pelarian dengan khemah-khemah dipasang hanya 25 sentimeter jaraknya.

Seorang lagi penduduk memberitahu, keadaan semakin buruk sejak kebelakangan ini apabila puluhan ribu lagi warga Palestin melarikan diri dari Gaza City akibat serangan Israel yang semakin memuncak.

Beliau memberi amaran kanak-kanak di kawasan berkenaan kini mengalami dehidrasi dan penyakit berjangkit akibat ketiadaan kebersihan asas.

Meskipun diisytiharkan sebagai ‘zon selamat’, kawasan Mawasi tetap menjadi sasaran serangan udara tentera Israel, mengorbankan ratusan orang awam yang berlindung di situ.

Puluhan ribu pelarian Palestin kini hidup dalam keadaan amat sesak dan serba kekurangan di kawasan tanah sempit itu.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Julai lalu, tentera Israel telah memusnahkan sekurang-kurangnya 112 stesen pengisian air dan 720 telaga sejak Oktober 2023, sekali gus meruntuhkan rangkaian bekalan air di wilayah berkenaan.

Keluarga di Gaza menceritakan barisan panjang wanita dan kanak-kanak menunggu dengan bekas kosong bagi mendapatkan bekalan terhad, manakala pihak berkuasa tempatan serta pertubuhan hak asasi menuduh Israel menggunakan dahaga sebagai senjata terhadap orang awam.

Pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu melaporkan 96 peratus isi rumah di Gaza tidak mempunyai akses selamat kepada air, manakala sembilan daripada 10 rakyat Palestin tidak mampu mendapatkan air minuman.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) turut memberi amaran keadaan semakin teruk dengan cuaca panas melampau menambah penderitaan penduduk.

Pasukan penyiasat PBB sebelum ini turut merumuskan Israel sedang melakukan genosid di Gaza, yang sehingga kini meragut lebih 65,300 nyawa sejak perang tercetus pada Oktober 2023. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×