Kapal dagang China boleh sampai UK dalam masa 18 hari guna laluan baharu

Kapal dagang China boleh sampai UK dalam masa 18 hari guna laluan baharu

PERJALANAN kapal dagang China ke United Kingdom dianggarkan 18 hari lebih cepat berbanding tenpoh biasa iaitu selama 40 hari. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China bakal mencipta sejarah perkapalan global minggu ini apabila menghantar sebuah kapal kontena sepanjang 965 kaki terus ke Britain melalui laluan Artik yang semakin mencair akibat pemanasan global.

Perjalanan sulung menerusi Laluan Laut Utara (NSR) itu dijangka mengurangkan separuh tempoh perjalanan komersial biasa selama 40 hari antara kedua-dua lokasi.

Kapal kontena milik China, Istanbul Bridge, dijadual berlepas dari pelabuhan Ningbo-Zhoushan pada Rabu menuju ke Pelabuhan Felixstowe, Suffolk Timur, dan hanya mengambil masa sekitar 18 hari untuk sampai.

Selama ini, barangan dari China ke Eropah dihantar mengelilingi Tanjung Harapan, namun pencairan ais laut Artik membuka peluang baharu untuk laluan alternatif yang lebih pantas.

Bagi memastikan kelancaran pelayaran percubaan ini, kapal pemecah ais akan digunakan bagi membersihkan laluan. China dan Russia menyasarkan untuk menjadikan laluan ini sebagai pilihan tetap yang menghubungkan beberapa pelabuhan utama di Asia dan Eropah.

Beijing menyifatkan pelayaran bersejarah ini sebagai bab baharu dalam evolusi perkapalan global.

Namun, langkah tersebut membawa implikasi geopolitik kerana laluan itu terletak dalam zon keselamatan Russia dan China, apatah lagi ketika perang Ukraine masih berlarutan lebih tiga tahun.

Istanbul Bridge, yang berdaftar di Liberia tetapi dikendalikan syarikat China Sea Legend, dijangka tiba di UK pada 10 Oktober.

Selama empat dekad kebelakangan ini, Artik telah mengalami kadar pemanasan sekitar empat kali ganda lebih cepat daripada purata global, menyebabkan ais laut berkurangan mendadak dan membuka tingkap bermusim untuk perkapalan komersial.

Walaupun lebih pantas, pakar menjangka laluan itu hanya mampu menampung beberapa ratus kapal setahun kerana kekangan musim dan infrastruktur.

Mengikut laporan Global Times, perjalanan lebih singkat ini boleh mengurangkan sehingga 50 peratus pelepasan karbon kerana penggunaan bahan api lebih rendah.

Namun, pakar iklim memberi amaran peningkatan trafik di Artik boleh mengancam ekosistem marin, termasuk gangguan kepada mamalia laut, selain risiko keselamatan akibat cuaca ekstrem serta kekurangan kemudahan sokongan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×