KUALA TERENGGANU: Tular dalam media sosial sejak awal September lalu apabila ramai pengguna meluahkan kemarahan selepas mendakwa bil air mereka meningkat hampir sekali ganda susulan pelarasan tarif baharu yang dikuatkuasakan Syarikat Air Terengganu (SATU).
Ekoran aduan serta rintihan diterima itu, Kerajaan Negeri Terengganu mengarahkan SATU meneliti semula pelaksanaan tarif baharu yang berkuat kuasa Ogos lalu bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terjejas.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Ali berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini selepas semua aspek berkaitan diteliti secara menyeluruh.
Menurut beliau, kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan kerana ia melibatkan keseimbangan antara kepentingan rakyat dan kelestarian operasi syarikat air.
“Mesyuarat memutuskan supaya SATU meneliti semula dari semua sudut dan membentangkan pelan tindakan baharu dalam masa terdekat agar aduan pengguna dapat disantuni dengan baik,” katanya menerusi surat rasmi yang dikemukakan kepada SATU hari ini.
Sebelum ini, SATU menjelaskan bahawa pelarasan tarif tersebut dibuat mengikut garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk memastikan kelangsungan operasi syarikat. – UTUSAN











