Isu dadah: Tisha Shamsir mohon maaf kepada Yusof Haslam - Utusan Malaysia

Isu dadah: Tisha Shamsir mohon maaf kepada Yusof Haslam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Tisha Shamsir memohon maaf secara terbuka kepada penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam usai sebutan semula kes dadah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Tisha atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, dia sedar isu berkenaan sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik penerbit drama kepolisan Gerak Khas 2.0 itu.

“Saya ingin memohon maaf kerana sedar perkara ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik majikan saya, Datuk Yusof Haslam. Saya juga ingin memohon maaf kepada keluarga saya. Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pelakon yang menjayakan watak sebagai Inspektor Tisha itu berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri prosiding mahkamah, hari ini.

Dalam pada itu, Tisha mengakui kontroversi berkenaan turut menjejaskan kerjaya lakonannya, namun memaklumkan dia masih menjalani kehidupan seharian seperti biasa.

“Sedikit sebanyak memang ada (menjejaskan kerjaya). Tetapi saya menjalani kehidupan seperti biasa. Saya sendiri pun tidak tahu apa keputusannya nanti.

“Apa pun, ujian daripada Allah ini memang hebat dan sangat berat. Saya menerima segala dugaan ini dengan hati terbuka dan berharap agar terus diberikan kekuatan untuk menghadapinya,” jelasnya.

Sementara itu, Tisha turut menitipkan pesanan kepada orang ramai supaya tidak terlalu cepat menjatuhkan hukuman ketika prosiding mahkamah masih berjalan.

“Apa yang boleh saya katakan, kita semua manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau kekhilafan. Apa yang saya minta daripada netizen di luar sana, janganlah terlalu cepat menghukum seseorang,” katanya.

Hari ini, Mahkamah Majistret menetapkan sebutan semula kes dadah yang melibatkan pelakon itu pada 10 November ini.

Pada 7 Julai lalu, seorang pelakon wanita yang membintangi drama polis terkenal ditahan bersama beberapa individu lain di dalam sebuah bilik VIP dan didapati positif dadah methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara.

Serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama IPD Dang Wangi pada pukul 3.15 pagi.

Susulan itu, tertuduh, Tisha didakwa dan mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan kes di mahkamah sama, pada 10 Julai lalu. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN