Belanjawan 2027: PKMM mahu 50 peratus projek kecil kerajaan diundi secara telus - Utusan Malaysia

Belanjawan 2027: PKMM mahu 50 peratus projek kecil kerajaan diundi secara telus

ABD GAPAR LAMBAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mencadangkan Belanjawan 2027 menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus projek kecil kerajaan dilaksanakan melalui kaedah cabutan undi yang telus, terbuka dan berasaskan syarat kelayakan jelas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang Dipertua PKMM Pahang, Abd. Gapar Lambak berkata, kaedah tersebut wajar diperluaskan secara bersesuaian kepada kontraktor G1, G2, G3, G4 dan G5, mengikut nilai, skop, lokasi dan kapasiti kontraktor.

“PKMM melihat kaedah tersebut sebagai salah satu mekanisme untuk memastikan peluang projek dapat diagihkan dengan lebih meluas kepada semua kontraktor yang layak.

“Dalam masa yang sama, ia dapat mengurangkan persepsi bahawa peluang kerja kerajaan hanya berlegar dalam kelompok kontraktor tertentu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abd. Gapar berkata, PKMM turut berharap kerajaan melakukan semakan berkala terhadap jadual kadar kerja dan bahan binaan yang digunakan sebagai rujukan dalam penyediaan anggaran kos projek kerajaan.

“Realiti industri hari ini amat berbeza berbanding beberapa tahun lalu. Harga bahan binaan seperti simen, besi, bitumen, bahan berasaskan petroleum, kabel, komponen mekanikal dan elektrik serta kos pengangkutan boleh berubah dengan ketara akibat perubahan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan, konflik antarabangsa dan perkembangan geopolitik dunia.

“Oleh itu, PKMM mencadangkan supaya jadual kadar harga kerajaan disemak secara berkala dan kekerapan semakan berdasarkan perubahan harga pasaran semasa, bukannya bergantung kepada satu kadar yang tidak lagi relevan kos sebenar di lapangan,” ujarnya.

Beliau berkata, persatuan tersebut juga mencadangkan supaya satu mekanisme semakan automatik atau berkala diwujudkan, contohnya berdasarkan indeks harga bahan binaan dan data rasmi yang berkaitan.

Langkah tersebut katanya, akan membantu memastikan anggaran kos projek lebih realistik dan mengurangkan risiko kontraktor memasukkan kadar yang terlalu tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.

“Dalam masa yang sama, PKMM memohon kerajaan supaya. mekanisme Pengiraan Perubahan Harga (VOP) diluluskan dan dilaksanakan dengan segera bagi projek-projek yang terjejas oleh perubahan ketara kos bahan binaan dan input utama.

“Kontraktor tidak seharusnya menanggung sepenuhnya risiko kenaikan kos yang berlaku selepas harga kontrak dipersetujui, khususnya bagi projek yang mempunyai tempoh pelaksanaan panjang,” katanya.

Jadi katanya, PKMM mencadangkan mekanisme VOP yang jelas, telus, berasaskan formula dan data rasmi, supaya proses penilaian serta pembayaran dapat dibuat dengan lebih cepat dan mengurangkan pertikaian.

Menurutnya, pihaknya percaya pendekatan tersebut bukan bertujuan memberikan kelebihan kepada mana-mana pihak, tetapi untuk memastikan harga projek kerajaan lebih realistik, proses perolehan lebih telus dan industri pembinaan kekal mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN