CUMBRIA: Pertandingan wajah paling pelik dunia, World Gurning Championships kembali mencuri perhatian apabila juara 19 kali berturut-turut akhirnya dikalahkan.
Ryan Barton, 42 tahun, seorang bapa kepada dua anak, muncul sebagai pemenang kategori lelaki pada acara tahunan yang berlangsung hujung minggu lalu di bandar kecil Egremont.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan penguasaan panjang Tommy Mattinson, yang tidak dapat bertanding tahun ini kerana masalah kesihatan.
Dalam kategori wanita pula, juara bertahan tahun lalu, Claire Lister turut kehilangan takhta selepas ditewaskan secara dramatik oleh Lynn Kelly.
Sukan unik ini menyaksikan peserta berentap menghasilkan ekspresi wajah paling aneh, dengan wajah mereka dirangka oleh sejenis alatan dikenali sebagai collar.
Tradisi luar bandar England ini sudah lama diadakan di kampung-kampung, namun kini popularitinya meluas ke peringkat antarabangsa dengan penyertaan peserta dari seluruh dunia.
Para peserta perlu mengubah wajah normal mereka kepada ekspresi yang paling melampau untuk memikat hati juri dan meraih gelaran juara.
Pertandingan itu merupakan sebahagian daripada Egremont Crab Fair and Sports yang bersejarah, dianjurkan sejak 1267 bagi meraikan hasil pengeluar tempatan. Selain gurning, acara dua hari itu turut menampilkan pertandingan lumba kereta sorong dan pertandingan meniup hon.
Penganjur berkata, kemenangan Barton didedikasikan kepada mendiang bapa saudaranya, Peter Jackman, yang pernah menjadi legenda gurning.
“Kami turut mendoakan kesihatan Mattinson dan berharap dapat melihat beliau kembali bertanding pada masa akan datang,” kata penganjur.
Bagi kategori wanita, mereka menyifatkan kemenangan Kelly penuh dengan drama, sambil mengucapkan tahniah atas gelaran dunia yang diraihnya.
Namun, tidak semua suram buat Claire Lister kerana anak perempuannya, Kendall, berjaya menjuarai kategori remaja dalam pertandingan gurning tersebut. -AGENSI










