MOSCOW: Timbalan Menteri Tenaga Russia, Pavel Sorokin memberi bayangan sekatan eksport bahan api mungkin diperluas sekiranya keadaan pasaran memerlukan, lapor agensi berita Interfax semalam.
Russia sebelum ini telah melanjutkan larangan eksport petrol sehingga akhir September, dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia diteruskan ke bulan Oktober sekiranya masalah kekurangan bekalan berlarutan.
Negara itu kini berdepan kekurangan beberapa jenis petrol ekoran serangan Ukraine ke atas loji penapisan minyak serta gangguan rantaian bekalan, ditambah pula dengan kadar faedah pinjaman yang tinggi sehingga menyukarkan stesen minyak menyimpan stok.
“Segala langkah perlu akan diambil untuk memastikan pasaran domestik mendapat bekalan penuh. Jika memerlukan sekatan eksport tambahan, ia juga akan dilaksanakan,” kata Sorokin seperti dipetik Interfax.
Media tempatan turut melaporkan kerajaan Russia sedang menimbangkan larangan eksport diesel sehingga hujung tahun ini. -AGENSI











