Kapal pengangkut Fujian milik tentera China bakal 'gerunkan' AS - Utusan Malaysia

Kapal pengangkut Fujian milik tentera China bakal ‘gerunkan’ AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China mengumumkan kejayaan ujian pelancaran pesawat pejuang dan pesawat pengesan awal menggunakan sistem pelancar elektromagnetik (EMALS) di kapal pengangkut pesawat terbaharunya, Fujian, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan angkatan laut negara itu.

Rakaman yang disiarkan stesen penyiaran negara, CCTV kelmarin memaparkan pesawat pejuang generasi kelima J-35, pesawat J-15T generasi 4.5 serta pesawat amaran awal KJ-600 berlepas dari dek Fujian menggunakan teknologi EMALS.

Media China menyifatkan kejayaan itu sebagai satu kejayaan baharu dalam transformasi tentera laut negara itu.

Setakat ini, hanya Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) menerusi kapal pengangkut USS Gerald R Ford memiliki sistem EMALS, yang mula beroperasi pada 2022.

Menurut penganalisis ketenteraan, Carl Schuster, bekas kapten Tentera Laut AS, ujian itu membawa isyarat kapal tersebut bakal ditauliahkan untuk menyertai Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat (PLAN) dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Ujian lanjutan termasuk kemampuan integrasi dengan Tentera Udara dan Angkatan Roket PLA dijangka dilakukan pada musim bunga tahun depan,” katanya.

Sistem EMALS membolehkan pesawat berlepas dengan beban lebih berat, termasuk senjata dan bahan api, berbanding dua kapal pengangkut China sebelum ini Shandong dan Liaoning yang masih menggunakan landasan berbentuk ‘ski-jump’.

Keupayaan itu dijangka meningkatkan jarak operasi pesawat China serta memberi PLAN kelebihan operasi “blue-water” atau laut lepas, seiring dengan standard global.

Namun, tidak seperti kapal pengangkut nuklear AS, Fujian hanya dikuasakan bahan api konvensional dan memerlukan pengisian semula di pelabuhan atau melalui kapal tangki di laut. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×