PATI monopoli kedai jual pakaian di Lorong Haji Taib digempur

PATI monopoli kedai jual pakaian di Lorong Haji Taib digempur

ANTARA warga asing yang ditahan di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berniaga pakaian terpakai di Lorong Haji Taib mengundang padah apabila gerai mereka digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam serbuan dijalankan JIM Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menyebabkan gerai ditinggalkan kosong selepas mengetahui kehadiran penguat kuasa.

Seorang peniaga tempatan dikenali Rosni, 61 berkata, rata-rata warga asing di kawasan itu menjual barangan seperti pakaian terpakai dan aksesori menggunakan permit orang tempatan secara ‘ali baba’.

“Bagus, saya sokong, angkut semua, mereka (warga asing) monopoli semua perniagaan. Mereka (warga asing) jadi tauke bukan pekerja. Semua dia sapu.

“Kalau dua tapak dia sewa senang-senang dalam RM1,000 sebulan, orang kita jugalah yang bagi sewa, bila ditegur dia kata tidak minta duit kita,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini.

Media yang mengikuti operasi itu mendapati deretan gerai di lorong terbabit ‘kosong’ tanpa ada pekerja, hanya segelintir peniaga warga tempatan sahaja berada di gerai selepas serbuan terbabit.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, dua serbuan dijalankan pihaknya menerusi Op Kutip di Lorong Haji Taib dan Op Selera di sebuah restoran di Bandar Manjalara Kepong bermula pukul 8 malam.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 27 individu diperiksa.

“Hasilnya seramai 12 PATI termasuk seorang wanita ditahan terdiri daripada lapan Bangladesh, India (1), Pakistan (1) dan Indonesia (2).

“Kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Sementara itu, pada hari sama JIM Kuala Lumpur menerusi Op Kutip menyerbu sebuah hotel di sini pada jam 12 tengahari dan menahan 26 disyaki PATI termasuk 13 wanita.

“Tangkapan warga asing ini terdiri daripada 13 Bangladesh, Indonesia (12) dan seorang Nepal.

“Turut ditahan dua warga tempatan merupakan majikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×