SEREMBAN: Seorang guru praktikal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun 10 bulan di bilik asrama sebuah sekolah di Sikamat di sini, pada Julai lalu.
Tertuduh, Wan Mohamad Aliff Wan Mohd. Sofian, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Kanageswari.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan cara menyentuh kemaluan hadapan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang 7.30 pagi di dalam bilik asrama sebuah sekolah di Sikamat di sini, pada 26 Julai lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang paling minima kerana baharu bekerja dan akan dijamin oleh bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 23 Oktober depan. – UTUSAN









