Tiga individu didenda RM250,000 seorang, mengaku simpan bangkai harimau - Utusan Malaysia

Tiga individu didenda RM250,000 seorang, mengaku simpan bangkai harimau

PEKARANGAN Mahkamah Kota Tinggi, Johor menjadi perhatian orang ramai yang hadir apabila bangkai harimau betina berkenaan dibawa ke lobi sebagai eksibit mahkamah untuk disahkan oleh hakim dan tertuduh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tiga lelaki termasuk dua beradik mengaku bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyimpan bangkai seekor harimau belang betina.

Tertuduh, Md. Shaheezam Md Salim, 49; Nazerin Tomiran, 47, dan adiknya, Mohamad Nazrol Tomiran, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama pada 16 September 2025 menyimpan seekor harimau belang betina (panthera tigris) yang telah mati di bahagian belakang bonet Perodua Alza yang merupakan hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa suatu permit khas.

Mereka melakukan perbuatan itu di stesen minyak BHPetrol Felda Tenggaroh lebih kurang pukul 6.10 pagi dan kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 70 (1) Akta 716 yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 70 (2) akta sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda maksimum RM250,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan dipenjara selama tempoh tidak lebih 15 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hanum Abdul Hadi dan Anongrakh Wechit manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Md. Shaheezam yang menghidap kanser hati tahap empat dan bekerja sebagai pemandu di ladang dengan pendapatan RM1,800 memohon denda dan hukuman penjara paling ringan.

Dua beradik yang masing-masing menghidap penyakit buah pinggang dan bekerja sebagai jurukimpal turut memohon hukuman ringan.

Pendakwaan meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kepada kesemua tertuduh sebagai pengajaran dan tauladan kepada orang awam.

“Kesalahan dilakukan serius libatkan khazanah negara yang tidak ternilai dari spesies ikonik yang ada pada lambang Jata Negara, logo jabatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Maybank.

“Harimau Malaya memainkan peranan penting dalam rantaian kehidupan dan kehilangan haiwan ini menjejaskan ekosistem yang memberi kesan juga kepada manusia. Sehingga tahun 2018, populasi haiwan ini direkodkan kurang daripada 200 ekor dan terkini kurang 150 ekor.

“Demi kepentingan awam hukuman berat perlu untuk dijadikan pengajaran dan tauladan kepada orang awam ini, sekali gus memberi signal bahawa jenayah libatkan hidupan liar jenayah dipandang serius oleh mahkamah Malaysia,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan denda RM250,000 setiap seorang dan tujuh tahun penjara dari tarikh sabitan. Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, kesemua tertuduh perlu menjalani tambahan tujuh tahun lagi pemenjaraan.

Pekarangan mahkamah menjadi perhatian orang ramai yang hadir apabila bangkai harimau betina berkenaan dibawa ke lobi sebagai eksibit mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×