MUKTAMAR Pas melabuhkan tirainya dengan penuh warna dan semangat. Laungan keyakinan, gema takbir, serta sorakan perwakilan mencerminkan tekad parti Islam itu berada di landasan yang betul untuk mengemudi politik tanah air.
Perwakilan pulang dengan semangat baharu, membawa resolusi jelas yang parti itu bersiap sedia menghadapi medan besar Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada 2027.
Pas ditubuhkan secara rasmi pada 1951, hasil cetusan ulama yang berpendapat UMNO tidak cukup menekankan Islam dalam perjuangan politiknya.
Berakar di madrasah, surau dan sekolah agama rakyat, Pas membina tapak di desa. 1959 menjadi titik bersejarah apabila parti itu menawan Kelantan, membuktikan sebuah parti berteraskan agama mampu menewaskan gergasi politik seperti UMNO di pentas demokrasi moden.
Kejayaan itu menampilkan Pas bukan sahaja sebagai parti politik tetapi simbol Islam boleh dijadikan dasar pentadbiran. Walaupun tidak bebas daripada krisis, namun parti ini tetap bertahan.
Pada 1974, Pas membuat percubaan besar dengan menyertai Barisan Nasional (BN) di bawah Tun Abdul Razak Hussein, cuba menggabungkan kekuatan Islam dengan kuasa nasional. Namun episod itu berakhir tragis apabila Pas disingkirkan pada 1977 akibat krisis politik di Kelantan.
Peristiwa itu hampir melumpuhkan parti, namun dalam masa sama mengubahnya. Pas mula memahami kuasa tidak datang daripada slogan semata-mata tetapi daripada kebolehan membaca arus serta berstrategi.
Lalu lahirlah konsep politik matang yang digarap melalui jaringan tarbiyah, usrah, pendidikan dan dakwah sehingga terbina ‘mesin’ politik yang tidak bergantung pada seorang tokoh tetapi digerakkan oleh ribuan kader di seluruh negara.
Meneliti sejarah panjang Pas, muncul pola aneh, hampir setiap pakatan besar yang disertainya hanya bertahan sekitar enam tahun. Angkatan Perpaduan Ummah (19900-1996) berakhir dengan pembubaran Semangat 46. Barisan Alternatif (1998-2004) runtuh selepas DAP keluar kerana isu hudud. Pakatan Rakyat (PR) (2008-2014) yang melonjakkan pembangkang akhirnya terlerai akibat pergeseran ideologi.
Adakah ini kebetulan atau semacam ‘hukum sejarah’? Sebenarnya ia berpunca daripada dilema berulang. Pas membawa agenda Islam yang tegas, sementara sekutunya sering datang daripada latar sekular atau majmuk yang sukar menerima gagasan negara Islam.
Ketegangan ini akhirnya menyalakan perpecahan. Tsunami politik 2008 misalnya membuktikan gabungan pembangkang mampu menggugat BN, tetapi apabila prinsip agama dipertikaikan, Pas memilih berpisah.
Sejarah seolah-olah mengingatkan jangka hayat pakatan bersama Pas jarang panjang, kerana garis antara prinsip dan kompromi terlalu rapuh untuk dipertahankan.
Ironinya, meskipun sering dianggap tidak pandai berkawan lama, parti Islam itu kerap muncul sebagai penyelamat politik. Selepas Reformasi 1998, Pas menjadi nadi Barisan Alternatif dan kemudian PR. Tanpa akar umbi Pas, PKR tidak mungkin menembusi kawasan majoriti Melayu. Gabungan itu, bersama DAP, cukup kuat sehingga BN kehilangan majoriti dua pertiga pada 2008.
Selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020, Pas sekali lagi membuktikan peranannya. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baharu dan rapuh mendapat nafas melalui sokongan Pas, lalu Perikatan Nasional (PN) terbentuk sebagai blok Melayu-Islam menyaingi UMNO.
Tanpa Pas, ramai penganalisis berpendapat Bersatu sudah lama tenggelam. Kini, Pas muncul sebagai parti terbesar di Parlimen dan menguasai empat negeri.
Menjelang PRU16, laluan Pas bukannya mudah. PN kelihatan kuat tetapi retakan dalaman jelas wujud. Bersatu berdepan krisis kepimpinan dan tekanan undang-undang terhadap beberapa tokoh utama. Jika kapal Bersatu karam, mampukah Pas mengemudi PN seorang diri?
Selain itu, isu pembahagian kerusi boleh mencetuskan konflik. Kedua-dua parti mensasarkan pengundi Melayu-Islam yang sama, lalu pertindihan calon berisiko memecah undi.
Tambahan pula, kekuatan Pas masih tertumpu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Untuk menawan Putrajaya, parti itu perlu menembusi kawasan bandar serta negeri selatan yang lebih majmuk dan pragmatik.
SURVIVAL POLITIK
Dalam membaca strategi Pas, harus diingat, tiada kawan atau musuh yang kekal kecuali kepentingan. Sejarah membuktikan, dalam Barisan Alternatif dan PR, Pas dianggap beban kerana hudud tetapi pada masa sama PKR dan DAP memerlukan kekuatan Pas untuk menembusi kawasan Melayu.
Dalam PN pula, Bersatu memerlukan Pas untuk menyaingi UMNO, manakala parti itu menggunakan Bersatu untuk akses ke Putrajaya.
Pas sedar survival politik tidak boleh bergantung pada emosi tetapi pada kepentingan. Itulah sebabnya ia boleh keluar masuk gabungan tanpa kehilangan kekuatan, malah sering menjadi lebih kuat selepas perpisahan.
Menjelang PRU16, Pas berada di persimpangan dengan tiga jalan utama. Pertama, mengekalkan PN. Pilihan ini menjanjikan kestabilan blok Melayu-Islam tetapi reputasi boleh terjejas jika Bersatu terus lemah.
Kedua, bergerak lebih berdikari. Dengan kekuatan akar umbi dan penguasaan negeri, Pas boleh bertanding lebih banyak kerusi di bawah jenama sendiri, namun risikonya ialah perpecahan undi Melayu.
Ketiga, menyertai Kerajaan Perpaduan sekiranya PRU16 menghasilkan Parlimen tergantung. Sejarah membuktikan pada 1974, Pas sanggup bergabung dengan BN apabila kepentingan menuntutnya.
Setiap jalan ada risiko dan setiap pilihan ada implikasi tetapi sejarah mengajar Pas akan memilih jalan yang paling menjamin kepentingannya.
QUO VADIS PARTI
Pas kini bukan lagi pelengkap tetapi kuasa penentu. Sejarah keluar-masuk gabungan, jatuh-bangun dan bangkit semula bukan tanda kelemahan tetapi bukti keanjalan politik yang jarang dimiliki parti lain.
Menjelang 2027, sama ada Pas mampu kekal sebagai parti terbesar di Parlimen atau mengulangi pola enam tahun yang sering menghantui sejarahnya.
Apa pun keputusannya, satu hal pasti, Pas akan terus memilih berdasarkan kepentingan bukan nostalgia atau kesetiaan. Dan disitulah letaknya rahsia panjang umur politiknya.-UTUSAN
PENULIS ialah pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).










