KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih belum memuktamadkan pengagihan kerusi bersama rakan politik termasuk Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, rundingan masih berjalan di pelbagai peringkat, sekali gus tiada perkembangan terbaru mengenai perkara itu setakat ini.
“Kita masih dalam proses rundingan dan tidak ada perkembangan baru buat masa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
GRS sebelum dilaporkan dijangka meletakkan calon di sekurang-kurangnya 52 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 akan datang.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, ia berdasarkan sentimen rakyat yang semakin berpihak kepada parti tempatan.
Katanya lagi, jumlah berkenaan tertakluk kepada persetujuan pucuk pimpinan GRS dan baki 21 kerusi lagi dijangka diagihkan kepada parti nasional yang bersetuju menjalin kerjasama dengan gabungan berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai persiapan gabungan itu, Masidi menegaskan bahawa GRS telah membuat persediaan lebih awal dalam menghadapi PRN, namun menyerahkan keputusan kepada pengundi untuk menilai.
“GRS sudah mula membuat persediaan sejak tahun lepas, dipertingkatkan tahun ini dan sudah bersedia menghadapi PRN,” ujarnya.
Ditanya sama ada kedudukan GRS sebagai kerajaan negeri yang memerintah pada masa ini akan memberi kelebihan dalam meraih sokongan rakyat, beliau menegaskan bahawa keputusan itu seharusnya diserahkan kepada pemilih.
“Biar pemilih yang menentukan,” katanya ringkas.
Pada PRN Sabah 2020, GRS secara rasmi memenangi 38 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Jumlah ini membolehkan GRS membentuk kerajaan negeri dengan sokongan daripada parti komponen dan rakan sekutunya, sebelum kemudiannya bertambah kepada 41 kerusi selepas beberapa ADUN lain menyertai atau menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. – UTUSAN










