PRN Sabah: 20 kerusi majoriti tipis jadi penentu

PRN Sabah: 20 kerusi majoriti tipis jadi penentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi dijangka menjadi sasaran parti-parti utama yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah tidak lama lagi.

Malah, semua kerusi tersebut dikatakan berisiko berpindah milik kepada pihak lawan dan menjadi penentu kemenangan PRN17 terutama di kerusi-kerusi yang merekodkan majoriti di bawah 700 undi.

Antara kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menyaksikan kemenangan calon dengan majoriti tipis ialah Karambunai dengan perbezaan 16 undi ; Pintasan (84); Petagas (261); Tungku (268); Gum-Gum (269) dan Lumadan (364).

Selain itu, Sindumin (424); Sebatik (522); Tulid (544); Pitas (559); Darau (562); Balung (580); Kunak (589); Liawan (641); Lamag (661); Telupid (685); Pantai Manis (686); Banggi (703) dan Kuamut (978).

Lebih menarik, kerusi DUN Kukusan di Tawau yang dimenangi oleh Rina Jainal atas tiket Warisan hanya berbeza 10 undi dengan pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), Chaya Sulaiman.

Namun, Rina melompat parti pada 2022 dan kini menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jika Warisan bercita-cita mahu mentadbir negeri itu semula, parti itu memerlukan 25 lagi kerusi bagi membentuk majoriti mudah dengan memenangi sekurang-kurangnya 37 daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Pada PRN16, Warisan merekodkan kemenangan di 23 kerusi, namun kerusi milik parti itu berkurangan selepas 11 wakil rakyatnya lompat parti.

Oleh itu, sukar untuk diramal pada PRN17 siapa bakal menguasai kerusi-kerusi marginal berkenaan.

Pensyarah Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung mengakui perkara itu dan menyifatkan PRN17 bakal menyaksikan perubahan besar dalam landskap politik negeri, terutama dalam aspek kerjasama parti dan strategi bertanding.

Katanya, PRN17 juga akan menjadi medan ujian sebenar terhadap kesepaduan antara parti komponen dalam gabungan yang ada.

“Senario politik PRN17 sangat berbeza berbanding PRN16, terutama dari segi kerjasama politik dan pihak yang akan bertanding menentang siapa.

“Jika PRN16, Warisan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), kali ini kecenderungan PH bergabung dengan GRS, manakala Warisan memilih bertanding secara solo,” katanya.

Kuok Tiung turut menjangka penyertaan lebih banyak parti serpihan dan calon bebas, termasuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang dianggap sebagai pecahan Warisan.

Tambahnya, pertandingan sengit dijangka berlaku antara calon BN, PH dan GRS di beberapa kerusi penting, manakala Perikatan Nasional (PN) juga tidak boleh diketepikan dalam pertarungan kali ini.

Menarik perhatian, di kerusi DUN Karambunai, Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan dilihat mendahului daripada segi populariti setakat ini.

“Namun keputusan sebenar akan bergantung sepenuhnya kepada pengundi, termasuk kelompok strategik seperti pengundi tentera, terutama dari Pangkalan Tentera Laut Sepanggar,” ujarnya.

Selain itu, beliau menjelaskan jumlah pengundi kali ini meningkat ketara berbanding PRN16, hasil pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik dan kelayakan mengundi pada umur 18 tahun (Undi18) di Sabah.

“Semasa PRN16, undi 18 belum lagi terpakai. Jadi, PRN17 adalah kali pertama undi 18 diguna pakai, manakala Pilihan Raya Umum pada November 2022, ia sudah dilaksanakan di Sabah,” katanya.

Mengulas slogan yang diperjuangkan oleh Warisan, iaitu ‘Selamatkan Sabah’, beliau berkata, rakyat wajar bertanya kembali: ‘Selamatkan Sabah daripada apa?’

“Rakyat yang bijak pasti akan menilai sendiri prestasi dan rekod pentadbiran dua tokoh utama, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hajiji Noor, yang masing-masing pernah memegang jawatan Ketua Menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN