Dua penulis kaum India yang dikenali dalam bidang penulisan cerpen bahasa kebangsaan sejak akhir 1980-an ialah Saroja Theavy Balakrishnan dan M. Mahendran. Saroja sudah semakin kurang menulis sekarang, manakala Mahendran masih aktif.
Mereka berdua muncul menerusi Hadiah Cerpen Malayan Banking-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diumumkan pada hujung 1987. Sebenarnya selain Saroja dan Mahendran, ada seorang lagi penulis kaum India yang mencipta nama menerusi pertandingan itu.
Kamalah Suppiah menulis cerpen sulung dalam bahasa kebangsaan dengan judul Tiada Penyesalan. Cerpen berkenaan membawa tuah apabila diumumkan memenangi hadiah ketiga dalam pertandingan itu dan termuat dalam antologi Menara (1988).
Kemunculan penulis kaum India dalam sastera kebangsaan pada 1980-an adalah sesuatu yang menakjubkan kerana tidak ramai yang mampu melakukannya. Tambahan pula, penulis kaum India seperti Kamalah, Saroja dan Mahendran berjaya memaparkan budaya, permasalahan, pemikiran dan realiti kehidupan kaum India untuk tatapan pembaca pelbagai kaum.
Cerpen Tiada Penyesalan karya Kamalah turut menarik perhatian penyelenggara antologi cerpen kerana berjaya menampilkan budaya kaum India dan tema emansipasi wanita. Hal ini terbukti apabila cerpen berkenaan diterbitkan semula dalam antologi Hujan Emas di Negeri Orang (1989) dan Dari Pulau ke Pulau (1992).
Kamalah yang berumur 27 tahun semasa menulis cerpen mengetengahkan kisah wanita kaum India yang berani bersuara demi hak. Watak Gita dalam cerpen itu cuba melepaskan diri daripada kongkongan adat dan pemikiran kolot dalam keluarga dan masyarakat.
Watak Gita merasakan dirinya terseksa sewaktu tinggal di rumah mentua. Dia dilayan seperti hamba dan sering dihina. Di akhir cerita, Gita memutuskan untuk pergi bekerja walaupun dihalang oleh suaminya.
Unsur-unsur budaya berkaitan realiti kehidupan kaum India di Malaysia dipaparkan dalam cerpen ini. Watak ibu bapa Gita mewakili pandangan umum komuniti India yang berfikiran konvensional tentang kedudukan wanita (isteri, menantu) dalam sistem kekeluargaan.
Norma tidak formal yang sudah diterima dan diamalkan dalam budaya masyarakat India dapat pula dilihat menerusi pandangan watak ayah Gita. Dia menasihati: “Kau harus tabah merenangi lautan api, biarpun ia akan membakar dirimu. Perempuan seperti kau memang sudah ditakdirkan untuk menjalani hidup begini.”
SENSITIF
Keberanian Kamalah mengetengahkan isu-isu yang dianggap sensitif dalam komuniti India bukan sesuatu yang baharu. Beliau mula menulis puisi Tamil pada 1981. Cerpen pertama tersiar di akhbar Tamil Osai pada 1982.
Cerpen beliau muncul sebagai karya terbaik dalam Anugerah Sastera Datuk Athi Nagappan (1985). Novel Thimalar menang pertandingan menulis pada 1986 dan terbit pada 1987. Novel sejarah itu kemudian menang Anugerah Buku 1988 anjuran Gabungan Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (Gapetam).
Bagaimana pula dengan penulisan dalam bahasa kebangsaan? Tambahan pula, dalam temu bual yang disiarkan di akhbar New Straits Times (8 Disember 1988), Kamalah mengakui penguasaan bahasa kebangsaan beliau lebih baik berbanding bahasa Tamil.
Ada dua sebab mengapa Kamalah ‘hilang’ daripada peta sastera kebangsaan selepas cerpen sulung itu. Kamalah menceritakannya apabila saya berjaya mengesan beliau menerusi media sosial baru-baru ini.
Sebenarnya, Kamalah pernah mencuba nasib dengan mengirim cerpen berjudul Antara Malaikat dan Manusia bagi pertandingan anjuran Malayan Banking-DBP pada tahun seterusnya. Apabila cerpen itu tidak menang sebarang hadiah, beliau memutuskan untuk tidak mencuba lagi.
Namun begitu, Kamalah masih rajin membaca akhbar dan majalah yang menyiarkan karya bahasa kebangsaan. Hampir dua dekad kemudian, keinginan untuk kembali menghasilkan cerpen bahasa kebangsaan timbul dalam jiwa. Malangnya, penyakit glaukoma yang dihidap sejak berumur 20 tahun menyebabkan wanita ini hilang pandangan kedua-dua mata menjelang 2008.
Suaminya, Kandasamy meninggal dunia pada 2011, lalu Kamalah terpaksa menumpukan sepenuh perhatian kepada dua anak lelaki yang berumur 24 dan 22 tahun pada waktu itu. Sehingga kini, Sivabalan dan Kumanan menjadi tulang belakang kepada Kamalah.
Ternyata Kamalah sangat gigih, bersemangat dan mampu berdikari. Walaupun tidak mampu melihat sejak 2008, beliau masih meneruskan minat menulis karya bahasa Tamil. Misalnya, kumpulan cerpen remaja berjudul Illanyor Kathaigal berjaya diterbitkan pada 2012. Kumpulan cerpen berjudul Yha pula akan menemui pembaca selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.
Kamalah lahir pada 1960 di Batu Feringghi, Pulau Pinang dan mendapat pendidikan hingga tingkatan enam sebelum bekerja di Kesatuan Buruh Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Beliau pernah menjadi Timbalan Pengarang majalah bulanan Unggal Kural serta memegang jawatan Setiausaha Persatuan Penulis-penulis Tamil Pulau Pinang selama 12 tahun.
Wanita ini yang kini berumur 61 tahun kembali aktif menghasilkan karya Tamil yang sering disiarkan di akhbar dan Facebook. Bagaimana beliau melakukannya? Mulai 2018, beliau menulis, menconteng atau mencatat draf menggunakan pen dan kertas yang sentiasa tersedia di sisi. Kemudian, ditaip kemas oleh Sivabalan atau Kumanan.
Kini, Kamalah turut menyampaikan sajak dan rencana secara lisan untuk ditaip oleh anak-anak. Kumanan yang menguruskan laman Facebook mengaku kadang-kadang tergamam melihat semangat dan kemampuan ibunya mengingat dan mengolah sesuatu idea secara penuh kreatif.
Semasa kami berbual panjang menerusi telefon pada 23 Mei lalu, Kamalah tidak menolak kemungkinan akan kembali menulis karya dalam bahasa kebangsaan. Sama-sama kita tunggu peluang menikmati karya beliau yang pasti sarat dengan gambaran budaya kaum India.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











