Kedai di Jerman tampal notis larang orang Yahudi masuk

Kedai di Jerman tampal notis larang orang Yahudi masuk

NOTIS ditampal oleh Hans Velten Reisch pada tingkap kedainya yang melarang orang Yahudi daripada memasuki premisnya. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Seorang pemilik kedai di Jerman mencetuskan kemarahan masyarakat selepas menampal notis di tingkap kedainya bertulis ‘Orang Yahudi dilarang masuk ke sini!’.

Papan tanda berkenaan turut disertakan dengan tulisan kecil yang menyatakan dia bukan anti-Yahudi, tetapi sekadar’ tidak tahan’ dengan komuniti itu.

Pemilik kedai itu, Hans Velten Reisch, 60, memberitahu media tempatan dia dipaksa menurunkan notis tersebut oleh polis pada Khamis lalu, selain kini berdepan siasatan pihak berkuasa.

Ketika ditemu bual, Reisch menafikan tuduhan anti-Semitisme dan mendakwa tindakannya berpunca daripada kekejaman Israel di Semenanjung Gaza.

“Saya menonton berita setiap malam. Bila melihat apa yang dilakukan orang Yahudi di Gaza, saya hilang sabar dan mencetak notis itu,” katanya kepada akhbar Bild.

Menurut laporan SHZ, Reisch mendakwa dia tidak dapat membezakan antara orang Yahudi yang menyokong atau menentang tindakan Israel.

Bagaimanapun, dalam kenyataan susulan kepada Bild, dia mengakui tidak sepatutnya menuduh semua orang Yahudi, tetapi hanya mereka yang menyokong Israel.

Notis tersebut mengundang kecaman luas kerana disifatkan mengingatkan kepada tindakan rejim Nazi yang pernah memboikot orang Yahudi pada era Perang Dunia Kedua.

Pesuruhjaya Anti-Semitisme Kerajaan Persekutuan, Felix Klein, berkata notis itu jelas berbentuk kebencian terhadap Yahudi.

“Ini adalah anti-Semitisme dalam bentuk paling jelas. Ia mengingatkan kita kepada era Nazi apabila orang Yahudi dipulaukan melalui notis sebegini,” katanya kepada Welt TV.

Polis mengesahkan menerima beberapa laporan orang awam mengenai notis itu, manakala Pejabat Pendakwa Raya membuka siasatan terhadap Reisch atas tuduhan menghasut kebencian.

Kecaman itu hadir sehari selepas Canselor Jerman, Friedrich Merz memberi peringatan kepada rakyat kritikan terhadap Israel kini kerap dijadikan alasan untuk menyembunyikan racun anti-Semitisme. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×