Ingatlah pesanan Pak Cik Said - Utusan Malaysia

Ingatlah pesanan Pak Cik Said

GAMBAR kenangan keluarga Said Md. Ariff pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBELAKANGAN ini, jumlah kes Covid-19 di Perlis terus menunjukkan peningkatan dengan setiap hari lapan atau tujuh kes baharu dilaporkan.

Jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain mungkin jumlah tersebut jauh lebih kecil, namun jika diukur dengan keluasan Perlis sekitar 815 kilometer persegi dan penduduk lebih kurang 200,000 peningkatan berterusan seperti itu amat menggerunkan.

Baru-baru ini, saya sempat menemu bual seorang guru dari Guar Sanji, Arau, Perlis yang kehilangan ibu dan ayah dalam tempoh dua minggu akibat Covid-19.

Kongsi anak kedua daripada tujuh beradik itu, sebelum bapanya meninggal dunia, warga emas tersebut tidak putus-putus berpesan kepada anak-anaknya agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana Covid-19 itu wujud dan cukup bahaya.

Meskipun reda dengan pemergian kedua ibu bapanya itu, guru tersebut dan adik beradik yang lain sama sekali tidak menyangka insan kesayangan mereka itu meninggal dunia akibat Covid-19.

Ibu kepada guru berkenaan, Norizah Izhak, 59, meninggal dunia pada 6 Mei lalu disusuli ayahnya, Said Md. Ariff, 74, yang menghembuskan nafas terakhir Sabtu lalu selepas 10 hari dirawat di hospital.

Pesanan terakhir warga emas tersebut kepada anak-anaknya itu secara tidak langsung turut memberi mesej jelas dan iktibar kepada seluruh rakyat di negara ini supaya kekal mematuhi SOP.

Covid-19 memang wujud dan yang paling bahaya ia tidak mengenal siapa dengan sedar-sedar kita sudah dijangkiti.

Meskipun kerajaan sudah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan SOP diperketatkan, namun masih ramai yang dilihat masih degil tidak mematuhinya.

Jika berterusan begini, dua atau 10 kali dilaksanakan PKP pun dilihat tidak mampu menyekat penularan Covid-19 yang semakin mengganas termasuk dengan kewujudan varian-varian baharu yang lebih bahaya.

Kita dalam fasa sangat kritikal ketika ini. Dengan kerjasama seluruh rakyat, insya-Allah kita mampu melawan Covid-19 dan kita juga pernah hampir menang sebelum ini.

Bagi rakyat Perlis,saya yakin kita mampu melawan Covid-19. Sama-sama kita berusaha mengembalikan Perlis kepada zon hijau yang sejak sekian lama dipertahankan sebelum ini. Tahap kepatuhan SOP sehingga 97 peratus di negeri ini sama-sama kita tingkatkan kepada 100 peratus.

Pada masa sama, ingatlah pesanan Pak Cik Said, sentiasalah patuh SOP kerana Covid-19 itu wujud dan bahaya. Jadikan ia iktibar.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×