Israel kebal kerana sistem dunia berat sebelah

Israel kebal kerana sistem dunia berat sebelah

ORANG ramai berlari menyelamatkan diri selepas Israel membedil bangunan Universiti Islam Gaza di Gaza City, minggu lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berisiko mengulangi kegagalan lalu untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai selepas Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa veto terhadap resolusi gencatan senjata di Gaza.

Dalam undian kelmarin, semua 14 anggota lain UNSC menyokong resolusi yang dibentangkan pada Ogos lalu, susulan pengisytiharan rasmi PBB mengenai kebuluran selepas hampir dua tahun perang Israel terhadap Hamas di wilayah Palestin itu.

Wakil Algeria ke PBB, Amar Bendjama, membuka ucapannya di sesi Majlis Keselamatan dengan memohon maaf kepada rakyat Palestin dan menegaskan Israel dilindungi daripada tindakan berat sebelah antarabangsa.

“Maafkan kami, kerana dunia bercakap tentang hak tetapi ia dinafikan kepada kamu.

“Ini berlaku kerana Israel dilindungi, kerana ia kebal bukan oleh undang-undang antarabangsa, tetapi sistem dunia yang berat sebelah ini. Israel membunuh setiap hari, tetapi tiada apa yang berlaku,” katanya.

Merujuk pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada 1994 dan Bosnia pada 1995, Bendjama memberi amaran Majlis Keselamatan sedang mengulangi sejarah sama.

“Majlis ini sudah dua kali gagal mencegah genosid. Hari ini, nampaknya kita hampir menyaksikan kegagalan ketiga.

“Pada saat ini, tiada ruang untuk samar, setiap daripada kita mesti memilih sama ada untuk bertindak menghentikan genosid atau dikira bersubahat,” katanya.

Wakil Pakistan, Asim Iftikhar Ahmad berkata, veto AS menghalang UNSC daripada menangani krisis kemanusiaan yang semakin buruk.

“Pakistan kesal Majlis ini gagal menerima pakai draf resolusi yang dibentang oleh 10 anggota dipilih, resolusi yang semata-mata bertujuan menangani krisis kemanusiaan di Gaza,” katanya.

Wakil Russia, Vassily Nebenzia pula menuduh Washington melemahkan usaha diplomasi dan menyatakan usaha Majlis Keselamatan tergendala bukan kerana masalah sistem, tetapi keengganan satu negara untuk bertindak.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×