Kenali seni persembahan Malayali

Kenali seni persembahan Malayali

BAGI komuniti Malayali di Malaysia, keistimewaan seni persembahan ini bukan hanya warisan dari tempat asal nenek moyang tetapi cerminan identiti yang perlu dibanggakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENI persembahan komuniti Malayali yang biasa diperkatakan ialah Kathakali, Mohiniyattam dan Kutiyattam. Tarian dan dramatari ini berasal dari Kerala, India dan tetap menjadi kebanggaan diaspora Malayali di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Negeri Kerala sering diberi julukan God’s Own Country dan dikaitkan pula dengan pelbagai mitos yang sudah menjadi sebahagian budaya dan tradisi penduduk pelbagai agama di sana.

Sesiapa yang pernah melancong ke Kerala pasti mengakui keindahan alamnya yang menawan. Malah, khazanah budaya dan seni persembahan tradisional pasti memukau para pengunjung.

Komuniti Malayali di Kerala sudah menanam akar seni dalam setiap lapisan kehidupan iaitu dari kuil dan istana masa silam hingga ke kampung dan halaman rumah.

Antara seni klasik Malayali yang paling terkenal ialah Kathakali, Mohiniyattam dan Kutiyattam. Maklumat terperinci mengenai ketiga-tiga seni persembahan tradisional itu boleh dibaca dalam buku Mandala Bicara (2016).

Ada beberapa lagi seni persembahan komuniti Malayali yang hampir tidak diketahui orang di Malaysia. Antaranya ialah Chakyar Koothu, Margamkali, Chavittu Natakam, Krishnanattam, Thiruvathirakali, Oppana, Kakkarissi Natakam dan Ottamthullal.

Walaupun sebuah negeri yang dinamakan Kerala hanya wujud secara rasmi pada 1 November 1956, wilayah yang pernah dikenali juga dengan nama Malabar dan Cheralam sedia wujud sejak kurun ketiga dengan budaya dan tradisi yang terus dipelihara sehingga kini.

Kutiyattam merupakan antara seni persembahan tertua yang masih terpelihara. Seni lakonan Sanskrit yang bermula di kuil, kini diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Lisan dan Kebudayaan Tidak Ketara.

Dari situ, muncul pula Krishnanattam yang memfokus kepada kisah hidup Dewa Krishna dalam purana Hindu dan dipersembahkan dengan corak lakonan, muzik dan solekan tersendiri.

Ramanattam adalah seni persembahan dramatik berdasarkan kisah-kisah daripada epik Ramayana dan dikatakan menjadi salah satu asas kepada dramatari Kathakali.

Kathakali berkembang menjadi satu bentuk seni persembahan klasik pada sekitar abad ke‑17. Dramatari ini memiliki gaya yang sangat tersusun dari segi gerak tubuh dan mata, serta busana dan solekan yang sangat mewah.

Mohiniyattam pula muncul sebagai tarian khusus bagi golongan wanita. Seni tari itu sangat lembut dan anggun, penuh kehalusan, gerak tari yang perlahan dan penuh ekspresi. Tentu sahaja ia amat berbeza dengan dramatari Kathakali yang penuh tenaga dan dramatik.

Apabila bercakap tentang keunikan dari segi muzik, pakaian dan solekan, seni persembahan orang Malayali tidak sesekali mengecewakan. Namun begitu, amat menyedihkan kerana kurang dikenali dan kurang dipromosi di Malaysia.

Dalam Kathakali, contoh paling dramatik ialah jenis watak yang dikategori sebagai Pacha, Kathi, Thadi, Kari dan Minukku. Setiap satu mempunyai corak dan warna berbeza pada muka mengikut kategori watak wira, penjahat, dewa-dewi, makhluk ghaib dan sebagainya.

Solekan pada wajah bukan hanya untuk kelihatan cantik, sebaliknya menjadi bahasa visual yang mampu menyampaikan identiti watak kepada penonton yang duduk jauh dan tidak dapat mendengar dialog dengan jelas.

Muzik juga bukan sekadar mengiringi persembahan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada persembahan itu sendiri. Antara alat muzik tradisional yang digunakan ialah Chenda, Maddalam, Idakka, Ilathalam dan Shankhu.

Seni persembahan komuniti Malayali lazimnya menggunakan vokal atau lagu campuran bahasa Malayalam dan Sanskrit.

Seni persembahan seperti Chavittu Natakam pula memperlihatkan interaksi rupa dan ruang yang luar biasa iaitu dengan langkah kaki (chavittu) yang gemuruh di pentas kayu, kostum ala Eropah yang gemerlap, serta adaptasi cerita-cerita Kristian dan tempatan, lalu melahirkan satu campuran budaya yang membentuk identiti unik penduduk Malayali.

Seni persembahan seperti Ottamthullal dan Chakyar Koothu pula sering digunakan sebagai media satira dan kritikan sosial. Otak geliga dan lidah yang petah lagi kreatif mampu menembus batas-batas ritual dan kebiasaan, lalu menggambarkan kelemahan manusia serta mendedahkan tipu daya kuasawan dengan nada humor, halus dan memikat.

Thiruvathirakali pula tarian golongan wanita yang meraikan daya feminin dalam konteks spiritual dan sosial. Kakkarissi Natakam pula membawa watak-watak mitos dan cerita rakyat dalam seni lakonan yang ringan tetapi penuh makna.

Bentuk seni persembahan tradisional ini, walaupun berlainan tahap keagungan atau skala persembahan, semuanya berkongsi satu jiwa, iaitu mendidik minda, menyemai rasa kebersamaan serta memelihara kenangan terhadap akar budaya dan jati diri diaspora Malayali di seluruh pelosok dunia.

Bagi komuniti Malayali di Malaysia, keistimewaan seni persembahan ini bukan hanya warisan dari tempat asal nenek moyang tetapi cerminan identiti yang perlu dibanggakan.

Di tanah air kita, seni tradisional Malayali boleh tetap menjadi jambatan budaya bagi mengajak generasi muda mengenal bahasa ibunda, memahami cerita nenek moyang serta menyemai rasa hormat terhadap identiti, budaya dan jati diri.

Jumlah komposisi kaum India di negara ini hanya sekitar enam peratus. Majoriti iaitu sekitar 85 peratus pula merupakan komuniti Tamil. Sementara itu, komuniti Malayali, Telugu, Punjabi, Bengali, Gujarati dan sebagainya hanya minoriti kecil yang kurang diberi peluang menonjolkan budaya dan seni persembahan di pentas utama.

Apabila komuniti Malayali di Malaysia mengadakan persembahan Kathakali dan Mohiniyattam atau menganjurkan pementasan Chavittu Natakam dan Ottamthullal secara kecil-kecilan, ia bukan sekadar hiburan. Sebaliknya, menjadi saksi bahawa akar budaya yang diwarisi turun-tmurun masih hidup.

Kesedaran seperti ini membantu usaha membentuk jati diri yang lebih teguh serta memberi ruang agar generasi muda Malayali di Malaysia tidak merasa terasing dengan budaya sendiri.

Pada masa sama, tentulah saya berharap topik yang diperkatakan di sini turut menimbulkan minat dan kesedaran dalam kalangan penduduk pelbagai etnik untuk memelihara dan mempertahankan budaya tradisional masing-masing. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×