Pulau Pinang semak kadar baharu cukai tanah selepas 30 tahun

Pulau Pinang semak kadar baharu cukai tanah selepas 30 tahun

CHOW Kon Yeow menunjukkan semakan kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa 1 Januari 2026 melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang dijangka melaksanakan semakan kadar baharu cukai tanah berkuat kuasa 1 Januari 2026 melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pewartaan kadar baharu itu dibuat di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No. 37 bertarikh 11 September lalu.

Beliau berkata, kadar baharu tersebut telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara pada 2024 dan hanya akan disemak semula setiap 10 tahun sekali.

Katanya, kadar semakan baharu cukai tanah itu melibatkan kategori perumahan dengan kenaikan 127.27 peratus di kawasan desa dan 29.63 peratus di kawasan bandar, manakala bagi kategori perindustrian pula kenaikan dicatatkan adalah 151.94 peratus di bandar dan 200.93 peratus di desa.

“Kali terakhir cukai tanah di Pulau Pinang disemak ialah pada tahun 1994 dan selepas hampir 30 tahun, baru ia semak semula. Dengan itu, kadar baharu cukai tanah ini akan dikekalkan tanpa sebarang kenaikan sehingga tempoh minimum 10 tahun.

“Cukai tanah yang sebelum ini hanya menjana hasil sekitar RM140 juta hingga RM145 juta setahun dijangka meningkat kepada antara RM200 juta hingga RM300 juta setahun selepas semakan dibuat,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Jelas Kon Yeow, semakan tersebut bagaimanapun tidak melibatkan kira-kira 300,000 akaun cukai petak strata yang akan terus membayar pada kadar sedia ada.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, bagi tanah kediaman di kawasan bandar, kadar baharu yang ditetapkan ialah pada RM0.70 satu meter persegi dengan bayaran minimum RM70 setahun berbanding kadar lama RM0.54 manakala bagi kawasan desa, kadar kediaman meningkat daripada RM0.22 kepada RM0.50 satu meter persegi dengan bayaran minimum RM50 setahun.

“Bagi tanah kategori perindustrian pula, kadar dinaikkan daripada RM1.29 kepada RM3.25 satu meter persegi, manakala kategori perniagaan dikenakan RM3.25 di bandar dan RM2.80 di desa,” katanya yang memberitahu, pemilik rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan skim Rumah Mampu Milik berkeluasan kurang 100 meter persegi hanya perlu membayar kadar minimum RM70 setahun di bandar dan RM50 setahun di desa.

Sementara itu, beliau berkata, tanah pertanian seperti sawah padi dikenakan kadar serendah RM15 sehektar, kelapa sawit RM100 sehektar, getah RM75 sehektar dan tanaman kontan RM40 sehektar serta kadar khas RM800 sehektar diperkenalkan bagi tanaman durian.

“Kerajaan negeri turut menetapkan kadar nominal RM50 setiap lot bagi rumah kampung, tanah masjid, rumah ibadat bukan Islam dan tanah perkuburan, selain memperkenalkan kadar khas seperti padang golf (RM2,500 sehektar) dan kuari (RM3.25 satu meter persegi).

“Langkah ini bukan sahaja untuk memastikan keadilan dan kesamarataan kepada semua pemilik tanah, tetapi juga menyelesaikan isu ketirisan hasil cukai yang berlaku hampir 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata, bagi meringankan beban rakyat, kerajaan negeri akan memberikan rebat 32.5 peratus pada 2026, diikuti 20 peratus masing-masing pada 2027 dan 2028 melibatkan anggaran hasil antara RM80 juta hingga RM100 juta setahun.

“Selain itu, beberapa insentif turut diperkenalkan termasuk pengecualian penuh denda tunggakan cukai, diskaun 50 peratus premium pertukaran tanah pertanian kepada kediaman serta pemberian cenderahati dan cabutan bertuah bagi pembayaran melalui aplikasi PG Land,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×