BEIJING: Ramai graduan China yang melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat (AS) tertekan kerana gagal mendapat tempat di sektor pekerjaan gara-gara sering dianggap sebagai perisik atau pengintip.
Ramai graduan mendapati pengalaman luar negara mereka kini mencetuskan syak wasangka dalam kalangan majikan di China.
Seorang pelajar, Lian, 24, lulusan sarjana yang pernah belajar di AS, bercita-cita bekerja di Wall Street sebelum visanya dibatalkan tahun lalu di bawah larangan Presiden, Donald Trump terhadap pelajar dari universiti berkaitan ketenteraan.
Lian terpaksa pulang ke China, namun gagal dalam lebih 70 permohonan kerja di bank dan firma kewangan milik kerajaan, sebelum mendapat tawaran di sebuah syarikat swasta Shanghai pada Mac.
Katanya, pasaran kerja di China semakin curiga terhadap graduan luar negara, bukan hanya dari AS tetapi juga negara lain.
Lapor CNN, kebimbangan keselamatan semakin ketara apabila pengerusi syarikat Gree Electric, Dong Mingzhu menyatakan syarikatnya tidak akan mengambil graduan luar negara kerana berisiko menjadi perisik.
Komen itu mencetuskan kecaman di media sosial tetapi mencerminkan ketidakpercayaan yang kian meluas.
Malah, sejak 2023, beberapa wilayah termasuk Guangdong dan Beijing melarang graduan luar negara daripada menyertai skim pengambilan elit kerajaan, Xuandiaosheng.
Pakar dari Universiti Nasional Singapura, Alfred Wu berkata, sektor awam China kini semakin tidak mesra kepada graduan luar negara berikutan paranoia keselamatan yang dijadikan norma sosial.
“Kementerian Keselamatan Negara (MSS) China secara aktif mempromosi naratif ancaman pengintipan asing, termasuk melalui video propaganda yang menggambarkan pelajar luar negara mudah dipujuk menjadi ‘mata-mata’, sekali gus menambah kesukaran mereka untuk bersaing di pasaran kerja domestik,” jelasnya.
Budaya kerja intensif dari 9 pagi hingga 9 malam, enam hari seminggu juga sering dianggap sukar diikuti graduan Barat yang terbiasa dengan keseimbangan hidup dan bekerja.










