KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 draf resolusi merangkumi pelbagai sektor termasuk politik, ekonomi, sosial serta pembangunan wanita dan belia di seluruh ASEAN dibentangkan pada Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 di sini.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, resolusi-resolusi itu mencerminkan keluasan isu yang dihadapi rantau ini selain menunjukkan komitmen mendalam negara anggota untuk menanganinya secara kolektif.
Katanya, AIPA bukan sahaja menjadi bukti kesungguhan negara anggota memperkukuh kerjasama ASEAN, malah mengingatkan semua pihak tentang tanggungjawab yang digalas agar perbahasan yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“AIPA telah berkembang sejak beberapa tahun lalu melebihi sekadar forum untuk dialog. Ia kini menjadi platform penting yang menghubungkan parlimen, memperkukuh suara kolektif ASEAN serta memastikan komitmen serantau diterjemahkan kepada manfaat nyata buat rakyat.
“Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan dan perubahan pantas, peranan ahli parlimen menjadi semakin kritikal untuk mempertahankan nilai demokrasi, menyelaraskan kepentingan nasional dengan aspirasi serantau serta memastikan dasar yang dibentuk inklusif, adil dan mampan,” katanya semasa sesi plenari sempena AIPA ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Ramli berkata, Malaysia sebagai negara penganjur kekal komited untuk menyokong visi AIPA dalam mengutamakan tadbir urus demokratik dan keluhuran undang-undang agar institusi parlimen terus diyakini serta berdaya tahan.
Katanya, Malaysia juga bertekad memperjuangkan kesaksamaan gender dan kepimpinan wanita kerana pemerkasaan golongan itu adalah kunci untuk memperkukuh masyarakat serta ekonomi.
“Kita turut mengangkat transformasi digital yang inklusif agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat ekonomi digital ASEAN yang sedang berkembang pesat.
“Selain itu, Malaysia tetap komited terhadap pembangunan mampan dan tindakan iklim bagi menjamin masa hadapan yang lebih baik dan lestari untuk generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN










